11 pegawai, anggota polis berdepan tindakan turun pangkat, buang kerja

0
2

SERAMAI 11 pegawai kanan polis dan berpangkat rendah akan diambil tindakan berkaitan kejadian rogol melibatkan seorang remaja perempuan berusia 16 tahun di lokap sebuah balai polis di Miri, Sarawak.

Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman, Datuk Zamri Yahya berkata, pegawai yang didapati cuai dalam menjalankan tugas mereka akan diturunkan pangkat atau dibuang kerja.

“JIPS menjalankan siasatan bagi menyiasat kecuaian dan salah laku dalam kejadian tersebut.

“Selain tindakan dari sudut jenayah ke atas kedua-dua anggota berkenaan, seramai 11 orang terdiri daripada pegawai kanan polis dan pegawai rendah polis lain yang didapati gagal serta cuai menjalankan tugas turut akan diambil tindakan oleh jabatan (diturunkan pangkat atau dibuang kerja),” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Kenyataan itu turut menerangkan mangsa mendakwa dalam laporan polisnya bahawa sel lokap lelaki tidak dikunci.

Dia mendakwa tertuduh membuka pintu selnya pada awal pagi 9 Januari dan terus memperkosanya di tandas lokap.

Suspek berusia 19 tahun mengaku bersalah pada 12 Januari ketika didakwa di mahkamah, sebelum menukar pengakuannya minggu lalu.

Pada 8 Februari lalu, dua pegawai yang bertugas menjaga lokap, Brase Omang, 55, dan Edmund Jali, 44, didakwa mengikut Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-kanak 2001.

Ia menetapkan adalah suatu kesalahan bagi mana-mana orang untuk membiarkan kanak-kanak di bawah jagaan mereka terdedah kepada penderaan.

Undang-undang memperuntukkan denda sehingga RM50,000, penjara hingga 20 tahun atau kedua-duanya jika disabitkan kesalahan.

Mereka mengaku tidak bersalah dan diberi jaminan RM10,000 dengan masing-masing seorang penjamin tempatan.

Kedua-dua mereka juga menghadapi tuduhan lain di bawah Seksyen 166 Kanun Keseksaan yang menyatakan bahawa penjawat awam yang disabitkan menyebabkan kecederaan kepada mana-mana orang kerana tidak mematuhi arahan undang-undang boleh dipenjara hingga satu tahun, denda atau kedua-duanya sekiranya sabit kesalahan. – Malaysiapost

Artikel berkaitan :

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here