POLIS akan memanggil peniaga daging arnab perap akan yang mendakwa produknya tidak dibayar oleh seorang anggota polis yang bertugas di sekatan jalan raya (SJR) di Tol Putra Heights, Subang Jaya, baru-baru ini.
Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Abd Khalid Othman berkata semua saksi kejadian termasuk anggota SJR lain yang bertugas pada 12 Februari lalu akan turut dipanggil memberi keterangan.
Katanya, anggota SJR terlibat telah membuat laporan polis menafikan dakwaan itu semalam.
“Polis terbabit memaklumkan semasa memeriksa peniaga itu di SJR, dia bertanya jika ada daging arnab perap lebih untuk dibeli.
“Peniaga itu tawar dua paket daging arnab perap, tetapi pada harga RM40 untuk dua paket.
“Peniaga itu mahu mengambil gambar anggota polis itu pegang produknya untuk tujuan promosi,” katanya seperti dilapor Kosmo!.
Menurutnya, anggota itu bersetuju dengan permintaan tersebut dan tidak menyangka gambar berkenaan ditularkan dengan dakwaan dia tidak membayar penuh harga makanan tersebut.
Sebelum ini, peniaga tersebut menerusi hantaran di Facebooknya mendakwa kena ‘pau’ di satu SJR ketika dalam perjalanan menghantar arnab perap dijualnya.
Dalam hantaran itu, peniaga tersebut mendakwa dia kemudian meminta bayaran bagi sebungkus arnab perap manakala sebungkus lagi diberikan percuma kepada anggota polis berkenaan.
Dia juga mengambil gambar anggota polis berkenaan memegang bungkusan arnab perap tersebut.
Susulan isu tersebut tular, anggota polis itu membuat laporan polis bagi menafikan dakwaan dia tidak mahu membayar bagi pembelian arnab perap berkenaan.
Sebaliknya, anggota polis itu menyatakan dia telah membayar bagi sebungkus arnab perap dan diberi percuma sebungkus lagi setelah peniaga tersebut mahu mengambil gambarnya untuk tujuan promosi. – Malaysiapost
Artikel berkaitan:
https://malaysiapost.com.my/2021/02/14/gangguan-seksual-polis-kl-rekod-keterangan-anggota-mangsa/

