MENTERI Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa akan dipanggil memberi keterangan susulan dakwaan melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) seperti yang tular di media sosial, semalam.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Saiful Azly Kamaruddin berkata, kertas siasatan telah dibuka pihaknya berhubung kejadian berkenaan.
“Satu laporan mengenai kejadian itu juga telah dibuat di Cheras. Keterangan beliau akan diambil,” katanya seperti dilapor Kosmo.
Malaysiapost semalam melaporkan, Annuar mengakui penganjur program yang dihadirinya tidak mematuhi SOP.
Menerusi hantaran di Facebook, Ahli Parlimen Ketereh itu memohon maaf kerana hanya duduk sekejap dan kemudian berpindah kerana penganjur tidak mengikut SOP.
“Tadi semasa di ladang, saya duduk sekejap dan pindah kerana penganjur tak ikut SOP.. bukan tak sudi atau tak hargai tuan rumah, tetapi perlu ikut SOP. Saya pohon maaf, diharap tiada yang tersinggung.
“Walau bagaimanapun, saya teruja dengan kegigihan komuniti jayakan Urban Farm kita.. hidangan di ladang nampak dalam gambar macam dalam restoran.. walau di farm dan outdoor, elok amalkan penjarakan,” katanya.- Malaysiapost

