SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah menahan seorang penjawat awam hari ini kerana disyaki memberi beberapa kontrak bernilai lebih RM36,000 kepada ahli keluarganya.
Difahamkan, lelaki berusia lingkungan 40-an itu ditahan 12.15 tengah hari tadi di pejabat SPRM Sabah.
“Suspek ditahan kerana memberikan beberapa kontrak pembekalan dan pembaikan peralatan ICT (teknologi maklumat dan komunikasi) serta pembekalan makanan dengan jumlah keseluruhan melebihi RM36,000 kepada ahli keluarganya,” kata sumber seperti dilaporkan FMT.
Pengarah SPRM Sabah S Karunanithy turut mengesahkan mengenai penahanan suspek itu.
Menurutnya, lelaki terbabit ditahan bagi membantu siasatan berhubung kes berkenaan.
“Siasatan dijalankan mengikut Sekyen 23 Akta SPRM 2009,” katanya.
Sementara itu, dalam perkembangan lain, Karunanithy turut mengesahkan dua lagi individu ditahan susulan penahanan empat kakitangan sebuah agensi kerajaan persekutuan di Sabah yang mengemukakan tuntutan elaun perjalanan palsu, beberapa hari lalu.
Katanya, kakitangan dari agensi sama berusia 39 dan 41 tahun itu ditahan kira-kira 12 tengah hari tadi Pejabat SPRM Sabah.
“Dua suspek terbabit juga ditahan kerana kesalahan sama iaitu Sekyen 18 Akta SPRM 2009.
“Semua mereka akan ditahan selama 24 jam untuk siasatan lanjut dan akan dihadapkan ke Mahkamah Khas Rasuah Kota Kinabalu,” katanya.
Pada Rabu lalu, empat kakitangan berkenaan membabitkan tiga lelaki dan seorang wanita berusia 30 hingga 40 tahun ditahan SPRM Sabah selepas disyaki mengemukakan tuntutan elaun perjalanan palsu bagi tugasan rasmi di seluruh negara. -Malaysiapost

