Tengku Zafrul digesa lebih jujur bentang angka ekonomi

0
2

MENTERI Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz digesa untuk berpijak di bumi nyata, bersikap jujur dan telus dalam membentangkan angka-angka ekonomi.

Ahli Parlimen Johor Bahru, Akmal Nasir berkata, perkembangan ekonomi mutakhir ini memberikan kebimbangan yang begitu ketara dengan laporan demi laporan khususnya berkaitan ekonomi bagi 2020 menunjukkan aliran kemerosotan jauh lebih parah melebihi unjuran yang dibentangkan oleh kerajaan.

Katanya, terbaru laporan Bank Negara Malaysia berhubung Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia menguncup kepada -5.6 peratus berbanding berbanding peningkatan sebanyak 4.3 peratus pada 2019.

“Ini penyusutan kedua terbesar sejak krisis kewangan asia 1998. Penyusutan KDNK ini jauh melebihi unjuran oleh Menteri Kewangan yang dibentang dalam Laporan Tinjauan Ekonomi 2021 bahawa KDNK diunjur menyusut -4.5 peratus walaupun ketika itu Malaysian Rating Corp Bhd (MARC) menyasarkan penguncupan yang lebih besar sekitar -5.7 peratus.

“Ini secara tidak langsung telah menimbulkan persoalan sejauh manakah ketelusan kerajaan dalam memberikan laporan yang jujur dan tepat tentang kondisi semasa ekonomi negara,” katanya menerusi kenyataan.

Akmal yang juga Ketua Angkatan Muda Keadilan berkata, melihat kepada beberapa laporan 2020 yang menunjukkan kemerosotan seperti Pelaburan Langsung Asing (FDI) Malaysia serta ditambah dengan penurunan penarafan kewangan oleh Fitch Rating untuk Malaysia dari A- kepada BBB+ secara tidak langsung akan turut menyumbang kepada lonjakan terhadap hutang negara.

“Sudah pasti dengan penyusutan KDNK -5.6% pada 2020 ini tidak memungkinkan suatu lonjakan luar biasa KDNK 2021 kepada 6.5% – 7.5% seperti yang turut telah dibentang oleh Menteri Kewangan dalam Laporan Tinjauan Ekonomi 2021.

“Menteri Kewangan digesa untuk berpijak di bumi nyata, bersikap jujur dan telus dalam membentangkan angka-angka ekonomi. Usah terpalit dengan permainan politik demi memberi imej baik kepada Perikatan Nasional seperti mengelirukan dan memperdayakan rakyat,” katanya. -Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here