POLIS Diraja Malaysia (PDRM) menghentikan semua aktiviti latihan di Pusat Latihan Polis (Pulapol) seluruh negara buat sementara berikutan penularan Covid-19 membabitkan pelatih polis.
Pengarah Jabatan Pengurusan Bukit Aman, Datuk Ramli Din, berkata ketika ini seramai 41 pelatih masih positif Covid-19 dan menjalani perintah kuarantin di Pulapol Kuala Lumpur.
“Sebelum ini, seramai 78 pelatih polis positif dan jumlah itu semakin berkurangan selepas ramai yang sembuh.
“Oleh itu, kami menunggu keadaan benar-benar pulih barulah semua pusat berkenaan dibenarkan meneruskan latihan kembali,” katanya seperti dilaporkan Bernama.
Beliau berkata demikian selepas melawat gerai Jualan Mega Frontliner bersama PDRM di Keramat Wangsa, Kuala Lumpur hari ini.
Negeri yang mempunyai pusat latihan polis ialah Kuala Lumpur, Johor, Selangor, Negeri Sembilan, Kedah, Terengganu, Sabah dan Sarawak.
Ramli berkata, PDRM pada masa sama bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan (KKM) dengan membuat sanitasi awam di Pulapol Kuala Lumpur dan Segamat, Johor.
“Sanitasi awam membabitkan Pulapol negeri lain juga ada kami buat tetapi jumlah jangkitan Covid-19 kecil,” katanya.
Mengulas mengenai pengambilan rekrut baharu untuk jawatan pegawai dan anggota polis ketika tempoh Covid-19, beliau berkata, pengambilan jawatan diteruskan seperti biasa namun dihadkan.
“Hari ini, kami masih ada buat ujian fizikal rekrut baharu untuk mengisi kekosongan jawatan PDRM sedia ada tetapi hanya 3,800 diambil daripada 7,200 jawatan yang dibuka.
“Ia tidak boleh direkrut sepenuhnya (7,200) kerana dalam tempoh Covid-19 kelengkapan perlindungan diri tidak mencukupi untuk Pulapol melaksanakannya,” katanya.
Ramli berkata, walaupun pengambilan rekrut diteruskan, ia dijalankan dengan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat di setiap Pulapol seluruh negara. -Malaysiapost
Artikel berkaitan: https://malaysiapost.com.my/2021/01/30/98-pelatih-di-pulapol-positif-covid-19/

