Bimbang etnik Rohingya dizalimi jika dihantar pulang

0
3

KEPUTUSAN kerajaan untuk menghantar pulang pendatang tanpa izin warga Myanmar diterima baik namun perlu berhati-hati supaya mereka tidak dizalimi pemerintahan tentera di negara jiran itu.

Ketua Penyelaras Pusat Sumber Untuk Memajukan Masyarakat Dan Perumahan (REACH), Datuk Iskandar Abdul Samad, berkata pihaknya menghargai usaha-usaha kerajaan dalam menyelesaikan masalah pendatang tanpa izin di negara kita.

“Justeru itu keputusan kerajaan untuk menghantar balik 1,200 warganegara Myanmar di pusat tahanan kita adalah dialu-alukan.

“Seperti yang dilaporkan oleh media baru-baru ini, pemerintahan tentera Myanmar akan menghantar tiga kapal tentera laut untuk mengambil rakyat mereka.

“Bagaimanapun, REACH berharap kerajaan berhati-hati agar tidak menghantar pulang mereka yang akan dizalimi apabila tiba di Myanmar kelak,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, pihaknya menyokong jika mereka yang dihantar balik adalah yang boleh mengancam keselamatan negara atau telah terlibat dengan kegiatan jenayah.

“Kebimbangan kami adalah terhadap kaum Rohingya yang beragama Islam yang tidak diiktiraf oleh pemerintah Myanmar.

“Mereka telah berhadapan dengan penindasan, penganiayaan dan keganasan serta menjadi mangsa kerana agama dan etnik mereka,” katanya.

Iskandar berkata, pada 2017, tentera Myanmar telah menghalau 730,000 muslim Rohingya ke Bangladesh di dalam satu operasi yang dikecam oleh Bangsa-Bangsa Bersatu.

“REACH berpandangan masalah pendatang tanpa izi dari Myanmar ini perlu diselesaikan dengan segera dan tegas termasuk menempatkan mereka semula ke negara ketiga di mana mereka boleh memulakan kehidupan baru dengan selamat.

“Kerajaan juga perlu bertindak kerana terdapat kawasan perumahan seperti flat kos rendah di Pandan, Selangor yang seolah-olahnya dikuasai oleh mereka.

“Keadaannya terlalu kritikal sehingga menakutkan rakyat tempatan dan rakyat tidak melihat kerajaan melakukan apa-apa tindakan yang dapat melindungi mereka,” katanya.

Menurutnya, warga asing berkenaan juga dilihat bebas berniaga walaupun tidak memiliki sebarang dokumen yang dikeluarkan kerajaan Malaysia kecuali surat dikeluarkan Suruhanjaya Tinggi Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Pelarian (UNHCR) dan akhirnya rakyat tempatan pula yang mersakan diri mereka seperti warganegara kelas kedua. -Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here