SEORANG wanita mendakwa diganggu anggota polis yang mengambil butiran peribadinya termasuk nombor telefon ketika pemeriksaan di sekatan jalan raya (SJR) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) semalam.
Gangguan itu kemudian ditularkan wanita terbabit melalui ciapan di Twitternya @nnnadzifah malam tadi.
Menurut wanita yang menggunakan nama panggilan Azie itu, dia melalui SJR terbabit ketika ingin membeli barangan dapur sebelum diminta berhenti di tepi jalan untuk pemeriksaan.
“Polis : Nak gi mana ni, saya : beli barang dapur jap, polis : ok berhenti tepi jap.
“Polis jot down semua information, no ic, nombor phone, lesen.
“Polis few minds later…,” ciapannya mengenai gangguan berkenaan.
Azie turut berkongsi tangkap layar gangguan yang didakwa diterima daripada polis terbabit melalui aplikasi WhatsApp.
Menurutnya, dia mendapat mesej daripada polis yang memeriksanya di SJR itu yang mengatakan ingin berkenalan dengannya.
Ciapannya itu kemudian turut mendapat maklum balas daripada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang meminta memberikan maklumat lengkap mengenai kejadian itu.
“Saya secara peribadi rasa perkara ini perlu ditangani secara menyeluruh dimana perlu wujud budaya bekerja positif dalam gerakan organisasi dengan mengambil kira etika, nilai dan intergriti selari dengan nilai dan falsafah dalam gerakan organisasi itu sendiri,” katanya lagi.
Sementara itu, dalam ciapannya terbaru, Azie mengatakan tidak akan memadam isu dibangkitkan di Twitternya itu kerana berpendapat ia adalah perkara yang serius.
“Saya tidak akan padam ciapan ini kerana saya mahu salurkan maklumat lanjut kepada PDRM membabitkan pengalaman orang lain yang mungkin turut mengalami gangguan yang sama,” katanya. -Malaysiapost

