4 tahun berteduh di surau, kini Pakcik Karim dapat bilik sewa

0
4

SELEPAS empat tahun menumpang teduh di surau, kini seorang warga emas yang dikenali sebagai Pakcik Karim mampu menarik nafas lega apabila nasibnya itu mendapat pembelaan Lembaga Zakat Selangor (Zakat Selangor).

Difahamkan, selama empat tahun Pakcik Karim menjadikan surau di sekitar Shah Alam sebagai tempat berteduh dan meniaga dadih secara kecil-kecilan untuk kelangsungan hidup.

Zakat Selangor dalam kenyataan di Facebook memaklumkan pihaknya berjaya memujuk warga emas itu berpindah ke sebuah bilik sewa di Seksyen 17, Shah Alam.

“Empat tahun menumpang teduh di surau dan menjual dadih demi kelangsungan hidup hanya kerana tidak mahu menyusahkan anak-anak.

“Pakcik Karim sering dipujuk untuk berpindah dari surau ke rumah tetapi ditolak dan akhirnya beliau berjaya dipujuk untuk berpindah ke bilik sewa di seksyen 17, Shah Alam,” kata kenyataan itu.

Zakat Selangor berkata, bantuan bilik sewa kepada Pak Karim itu dilaksanakan dengan kerjasama Pertubuhan Kebajikan Kemasyarakatan Asnaf Seksyen 7 dan Stesen TV AlHijrah.

“Deposit kemasukan ditaja oleh Stesen TV AlHijrah, manakala bayaran bulanan ditanggung oleh Zakat Selangor sepenuhnya.

“Selain daripada itu juga, pihak NGO telah menyumbang beberapa kelengkapan di antaranya seperti katil, tilam, bantal, kipas dan peti sejuk,” katanya.

Dalam pada itu Zakat Selangor turut mengucapkan terima kasih kepada pembayar zakat yang menunaikan tanggungjawab sekali gus membantu mereka memerlukan.

“Tidak lupa juga jutaan terima kasih kepada TV AlHijrah, Pertubuhan Kebajikan Kemasyarakatan Asnaf Seksyen 7, En Azmi, Ketua Amil Shah Alam, En Saupi, Penolong Amil Kariah dan semua yang terlibat dalam membantu Pakcik Karim,” kata kenyataan itu.

Terdahulu, kisah Pak Karim ini tular di media sosial tahun lalu selepas videonya menjual dadih dengan menggunakan motosikal mendapat perhatian ramai.

Sementara itu, rata-rata netizen mengucapkan syabas kepada Zakat Selangor kerana agresif membantu asnaf yang memerlukan termasuk dalam kes Pak Karim. -Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here