Syed Saddiq bawa Pakcik Hashim tumpang di rumahnya

0
3

.AHLI Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menyuarakan perasaan simpati dengan nasib seorang warga emas di kawasannya yang tinggal dalam serba kekurangan.

Syed Saddiq menerusi perkongsian di Facebook (FB) memberitahu akan menumpangkan warga emas berusia 59 tahun dikenali sebagai Pakcik Hashim di rumahnya.

Ini berikutan Pakcik Hashim tinggal di ‘rumah yang uzur dan usang’ sejak lebih enam bulan lalu.

Menurutnya, keadaan dinding rumah tersebut sudah dimakan anai-anai dan tangga rumah sudah patah dua.

Malah, katanya, atap juga sudah bocor dan jika hujan, rumah itu sudah tidak lagi boleh dijadikan tempat berteduh.

“Bila saya sampai dalam jam empat petang tadi, memang rasa sedih.

“Pertama, ini tanggungjawab saya menjaga kebajikan Pakcik Hashim. Kedua, masih ada lagi penduduk yang tinggal di rumah yang begini uzur pada 2021.

“Jadi, saya dan Pejabat Parlimen Muar bantu kemaskan pakaian Pakcik Hashim dan saya bawa Pakcik Hashim tumpang berteduh di rumah saya buat sementara waktu di Parit Unas.

“Basikal baru saya beli. Saya beri ruang untuk Pakcik Hashim mandi dan berehat di rumah saya sementara kami cari tempat tinggal sementara untuk Pakcik Hashim,” tulisnya hari ini.

Syed Saddiq berkata warga emas berkenaan pada masa ini menerima bantuan RM300 sebulan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) kerana dia tidak dapat bekerja.

Bagaimanapun, dia masih menunggu bantuan daripada Kementerian Pembangunan Luar Bandar dan Baitulmal.

“Saya ingin merayu kepada Menteri Pembangunan Luar Bandar untuk meluluskan permohonan beliau untuk bina baharu rumah di atas tanah warisan yang sedang didiaminya melalui Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT).

“Lagi lama kita tangguh, lagi berat beban yang ditanggung Pakcik Hashim,” katanya.

Sementara itu, Syed Saddiq berkata akan menumpangkan Pakcik Hashim tinggal di rumahnya sementara urusan rumah jagaan disegerakan.

Dia berharap sumbangan orang ramai (crowdfunding) akan dapat menampung sewa rumah dan perbelanjaan hidup warga emas itu.

“Saya minta maaf kerana kemampuan saya sebagai Ahli Parlimen sangat terhad.

“Peruntukan kepada Parlimen Muar telah dipotong daripada RM3.8 juta kepada RM100,000 setahun.

“Apa yang ada, saya bantu. Tapi sangat terhad,” katanya. – Malaysiapost

Artikel berkaitan :

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here