DATUK Seri Najib Razak berpendapat pengumuman kerajaan yang memansuhkan syarat pengeluaran i-Sinar Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) lebih adil.
“Akhirnya syarat pengeluaran i-Sinar KWSP dihapuskan hampir lima bulan setelah kita tuntut secara berterusan dan setelah ramai mencari bukti-bukti dokumen secara sia-sia selama dua bulan.
“Namun ia bukan one-off sehingga RM10,000 tapi bayaran pertama adalah sehingga RM5,000 bagi mereka dengan baki simpanan di bawah RM100,000.
“Pendapat saya ialah ini lebih adil tapi kita perlu tengok perlaksanaannya,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya.
Terdahulu Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz menerusi kenyataan berkata KWSP sedang dalam proses memansuhkan syarat i-Sinar bagi mempermudahkan pengeluaran oleh ahlinya.
Langkah itu, katanya, bagi membantu ahli-ahli KWSP mengharungi cabaran semasa akibat pandemik Covid-19.
Beliau berkata, pemansuhan itu berikutan nasihat Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mahukan penambahbaikan inisiatif itu dibuat setelah mengambil kira maklum balas pihak awam.
Pemansuhan syarat bagi kemudahan i-Sinar itu akan membolehkan ahli KWSP berumur kurang 55 tahun membuat pengeluaran dari simpanan Akaun 1 mereka tertakluk kepada baki yang sedia ada.
Bagi ahli yang telah memohon i-Sinar berdasarkan kriteria semasa, permohonan mereka akan diluluskan secara automatik tidak lama lagi. – Malaysiapost
Artikel berkaitan:
https://malaysiapost.com.my/2021/01/18/kwsp-tambah-baik-i-sinar-pm/

