Kerajaan bincang kebenaran lebih banyak lagi sektor beroperasi

0
2

SETIAP kementerian diarah supaya mencadangkan mana-mana sektor atau jenis perniagaan yang masih belum dibuka untuk dibenarkan beroperasi semula.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata cadangan itu bagaimanapun perlu berserta dengan prosedur operasi standard (SOP) supaya dapat dibincang bersama dalam Jawatankuasa Teknikal Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Semalam dalam Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN), arahan diberikan kepada setiap kementerian untuk mencadangkan mana-mana lagi sektor atau jenis perniagaan yang masih belum dibuka.

“Ini supaya mereka mencadangkan berserta dengan SOP supaya MKN bersama Kementerian Kesihatan (KKM) serta kementerian berkaitan boleh berbincang dan jika dipersetujui ia akan dibawa ke Jawatankuasa Teknikal dan selepas itu dibawa ke Sidang Khas MKN,” katanya dalam sidang media di Putrajaya hari ini.

Menurutnya, sidang khas MKN kali ini adalah membabitkan penyertaaan ramai pihak dan dipengerusikan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sendiri.

“Sidang Khas MKN kali ini jumlahnya besar bukan sahaja terdiri daripada menteri-menteri tetapi juga setiap menteri besar dan ketua menteri untuk terlibat dalam sidang khas itu yang dipengerusikan Perdana Menteri.

“Maknanya setiap keputusan yang dibuat adalah berdasarkan kepada sidang tersebut,” katanya.

Beliau berkata, mana-mana perniagaan yang belum lagi dibenar seperti salon kecantikan dan sebagainya, akan dibincangkan nanti dan setiap permohonan daripada peniaga akan dilihat dan dibincangkan bersama.

“Saya hari ini pun menerima satu cadangan daripada Persatuan Orang Buta dan sudah saya bangkitkan dalam Jawatankuasa Teknikal.

“Golongan ini hanya kerja mengurut dan saya faham bagaimana sukarnya kehidupan mereka kerana bergantung kepada mengurut semata-mata tiada kerja lain.

“Tiada pekerjaan bermakna tiada pendapatan jadi bagaimana mereka ingin hidup,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan bersimpati dengan keadaan itu dan KKM sudah diminta menilainya dengan lebih teliti supaya dapat seimbangkan antara keperluan hidup tukang urut buta dengan keperluan menjaga kesihatan kerana ia melibatkan sentuhan.

“Banyak perkara akan dibincangkan dan bila sampai masanya kita akan umumkan keputusannya,” katanya. – Malaysiapost

Artikel berkaitan:

https://malaysiapost.com.my/2021/02/11/pkp-kerajaan-pertimbang-pusat-tuisyen-sekolah-memandu-dibuka-semula/

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here