PEMUDA Umno meminta penjelasan kerajaan berhubung tindakan lanjut pihak berkuasa berkaitan kematian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim.
Ini kerana sejak Mahkamah Koroner memutuskan bahawa kematian Muhammad Adib berpunca dari perbuatan jenayah akibat dipukul, sehingga kini masih tiada apa-apa tindakan daripada pihak berkuasa.
Ketua Pemuda Umno, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, kerajaan sejak Disember lalu berjanji untuk menyegerakan siasatan yang dikatakan sudah sampai ke peringkat akhir tetapi masih belum ada sebarang pengumuman rasmi hasilnya sehingga kini.
“Pemuda Umno mendesak agar kerajaan segera mengumumkan perkembangan siasatan dan tindakan agar pihak keluarga arwah (Muhammad Adib) tidak berterusan dibiarkan dalam kegelapan.
“Lebih lama kes ini dibiar tertangguh, lebih kuat persepsi timbul seolah-olah keadilan semakin dinafikan buat keluarga Arwah Adib, sebagaimana prinsip undang-undang ‘justice delayedis justice denied’,” katanya menerusi hantaran Facebook, hari ini.
Mahkamah Koroner pada 26 September 2019 memutuskan punca kematian Muhammad Adib adalah akibat perbuatan jenayah oleh dua atau lebih individu yang tidak dikenali.
Koroner Rofiah Mohamad ketika membacakan keputusan itu berkata, keterangan saksi ke-29, Perunding Kanan Patologi Forensik di United Kingdom, Prof Dr Shahrom Abd Wahid, bahawa mangsa dihentak dan diseret keluar dari van bomba pada masa kejadian, boleh diterima serta ada asas.
Selain ia disokong saksi ke-30 yang juga Pensyarah Kanan Fakulti Kejuruteraan Mekanikal, Universiti Teknologi MARA (UiTM), Dr Amir Radzi Ab Ghani.
Beliau berkata, pihaknya turut menolak teori dikeluarkan saksi ke-24, Pakar Forensik Patologi di Hospital Kuala Lumpur (HKL), Dr Ahmad Hafizam Hasmi, yang menyatakan Muhammad Adib keluar sendiri dari van Perkhidmatan Penyelamatan dan Perawatan Kecemasan (EMRS) sebelum dilanggar.
Katanya, keterangan saksi di tempat kejadian juga menunjukkan terdapat perbuatan memukul di mana ia membabitkan kira-kira 20 hingga 30 lelaki. – Malaysiapost
Artikel berkaitan :
https://malaysiapost.com.my/2020/11/26/keluarga-kecewa-kematian-adib-belum-terbela/

