Tiada lagi syarat pengeluaran i-Sinar

0
2

KUMPULAN Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sedang dalam proses memansuhkan syarat i-Sinar bagi mempermudahkan pengeluaran oleh ahlinya.

Langkah itu bagi membantu ahli-ahli KWSP mengharungi cabaran semasa akibat pandemik Covid-19.

Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz, berkata pemansuhan itu berikutan nasihat Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mahukan penambahbaikan inisiatif itu dibuat setelah mengambil kira maklum balas pihak awam.

“Pemansuhan syarat bagi kemudahan i-Sinar itu akan membolehkan ahli KWSP berumur kurang 55 tahun membuat pengeluaran dari simpanan Akaun 1 mereka tertakluk kepada baki yang sedia ada.

“Bagi ahli yang telah memohon i-Sinar berdasarkan kriteria semasa, permohonan mereka akan diluluskan secara automatik tidak lama lagi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, jumlah pengeluaran dari Akaun 1 serta jadual pembayaran maksimum selama enam bulan akan kekal seperti dimaklumkan sebelum ini.

“Bagi ahli yang mempunyai simpanan RM100,000 dan ke bawah, mereka boleh membuat pengeluaran sehingga RM10,000 dan pembayaran akan dibuat secara berperingkat dalam tempoh maksimum enam bulan dengan bayaran pertama sehingga jumlah maksimum RM5,000.

“Bagi ahli yang mempunyai lebih RM100,000, mereka boleh membuat pengeluaran sehingga 10 peratus daripada simpanan Akaun 1, namun jumlah pengeluaran maksimum yang dibenarkan RM60,000 dan pembayaran akan dibuat secara berperingkat dalam tempoh maksimum enam bulan dengan bayaran pertama sehingga jumlah maksimum RM10,000,” katanya.

Beliau berkata, berikutan perubahan yang perlu dilakukan kepada sistem dan proses dalaman i-Sinar Online, KWSP memerlukan masa mencukupi untuk melaksanakan pembaharuan itu dan pengumuman lanjut akan dibuat dalam masa terdekat.

“Kerajaan amat menghargai kesabaran dan pertimbangan ahli sementara perubahan sistem ini dilaksanakan.

“Ahli juga dinasihatkan agar merujuk maklumat sahih daripada KWSP melalui saluran-saluran komunikasi rasminya dan sentiasa berwaspada dengan maklumat yang tidak sahih dan bertujuan untuk menipu atau mengelirukan,” katanya. – Malaysiapost

Artikel berkaitan:

https://malaysiapost.com.my/2021/02/08/i-sinar-jangan-sulitkan-lagi-urusan-rakyat-pemuda-umno/

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here