Nurul Huda Abhar
JIKA dahulu tempahan katering bagi majlis perkahwinan melebihi 2,000 orang untuk satu masa, namun pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menyebabkan tempahan bagi majlis-majlis keramaian semakin berkurangan, malah hampir tiada.
Susulan itu, Rojmi Abd Rahman, 63, pemilik Uncle Ali Catering muncul dengan idea menyediakan juadah nasi kenduri yang telah diusahakan selama 20 tahun secara jualan di tepi jalan menggunakan ‘food truck’.

Menurut Rojmi atau mesra disapa Pak Ali, semasa PKP pertama pada Mac tahun lalu, beliau memang tidak buat apa-apa dan hanya berniaga nasi beriani pada Ramadan.
“Bermulanya idea nasi kenduri kahwin ini semasa berbual dengan perkerja saya. Saya bertanya takkan kita buat nasi biasa sahaja. Jadi tercetus nama nasi kenduri kahwin.

“Jadi kami berniaga nasi kenduri kahwin dan tak sangka jadi viral, selepas dikongsi beberapa penulis blog dan page Facebook,” katanya kepada Malaysiapost, hari ini.
Pak Ali yang berasal dari Baling, Kedah berkata, mereka menyediakan dua set menu nasi kenduri kahwin iaitu nasi beriani ayam, daging, ayam masak merah, dan ayam berempah berharga RM8 serta nasi beriani kambing RM12.
Waktu operasi nasi kenduri kahwin bermula jam 11 pagi di dua lokasi iaitu Taman Industri Bolton di belakang Sekolah Kebangsaan Taman Sri Gombak, dan di Pinggiran Batu Caves.
Dengan pengalaman yang ada dalam perniagaan katering, beliau mengesyorkan kepada pasangan yang bernikah semasa PKP seelok-eloknya mengagihkan makanan berbungkus kepada jiran untuk menguar-uarkan pernikahan tersebut.
“Bagi pada jiran-jiran di kawasan rumah. Seperti kita maklum dalam Islam kita perlu mengumumkan pernikahan supaya jiran-jiran tahu pasangan itu sudah bernikah untuk mengelak sebarang fitnah.
“Jadi sekarang saya masih dapat tempahan secara berbungkus daripada pasangan yang bernikah, mereka nak agihkan kepada jiran,” ujarnya yang mempunyai tiga anak dan enam cucu.
Pak Ali juga menasihatkan pengusaha katering agar tabah dengan ujian yang berlaku semasa pandemik Covid-19 sehingga ramai yang terpaksa gulung tikar.
Katanya, sebagai peniaga perlulah lebih kreatif dan mencari alternatif lain untuk memastikan perniagaan tetap berjalan dan elakkan dari menyalahkan sesama sendiri.
“Kita pun dah lama senang, lama Allah bagi rezeki mewah. Sekarang kita diuji dengan virus Covid-19 jadi perlu cari jalan lain untuk berniaga.
“Saya ada 16 pekerja. Jadi bayangkan macam mana saya nak ‘survive’ bersama pekerja-pekerja saya. Jadi berniaga seperti ini yang saya buat.
“Cuba guna medium dalam talian untuk pasarkan perniagaan. Yang penting perniagaan kita bergerak,” katanya. – Malaysiapost
Artikel berkaitan :
https://malaysiapost.com.my/2021/02/08/hotel-lima-bintang-di-melaka-tawar-nasi-bajet-rm2/

