Azizulhasni terkenang tragedi tertusuk kayu 10 tahun lalu

0
2

JAGUH berbasikal trek negara, Mohd Azizulhasni Awang memberi kata-kata semangat kepada rakyat Malaysia supaya jangan mudah mengalah dan berputus asa ketika menghadapi keperitan dan kesukaran dalam kehidupan.

“Never give up, never surrender’,” katanya menerusi Facebook sambil berkongsi kisah yang hampir ‘memadamkan’ masa depannya susulan tertusuk kayu trek pada 2011, bagi memberi motivasi kepada orang ramai.

Katanya, setiap manusia mempunyai dugaan dan rintangan masing-masing, namun ‘hebat’ seseorang itu apabila dia dapat mengharunginya dan berserah kepada Allah SWT.

“Kenangan kemalangan tertusuk kayu sepanjang 20 sentimeter yang menembusi betis saya masih segar di ingatan.

“Pelbagai tekanan yang saya tempuhi ketika itu. Emosi, fizikal dan tekanan dari pelbagai sudut untuk kembali ke puncak prestasi.

“Pilihan paling mudah waktu itu adalah untuk gantung basikal dan mencari arah baru,” luahnya.

Bagaimanapun, beliau tidak menjadikannya sebagai suatu pilihan buat dirinya.

“Saya percaya, setiap dugaan, cabaran dan rintangan itu hadir dengan sebuah kemanisan. Dan semua itu adalah untuk hambaNya yang hebat.

“Tahukah anda yang setiap dari kita ini adalah hebat. Cumanya, tingkatan hebat itu berbeza-beza, bergantung kepada betapa besar ujian yang kita sanggup harungi,” katanya lagi.

Sehubungan itu, Azizul berharap semua rakyat Malaysia tidak mudah berputus asa dengan kehidupan serta pekerjaan.

“Anda berhak merasai kemanisan yang telah ditetapkan untuk anda semua. Pokoknya, sanggup atau tidak kita untuk mengharungi kepayahan itu,” katanya.

Semalam, Azizul diiktiraf oleh Kesatuan Berbasikal Dunia (UCI) apabila menguasai ranking nombor satu dunia dalam acara pecut dan berada di kedudukan kedua dalam acara kegemarannya, keirin.

Azizulhasni mengalami kemalangan pada Siri Piala Dunia Klasik di Manchester 2011 yang mengakibatkan kakinya tertusuk serpihan kayu trek.

Doktor yang merawatnya ketika itu berkata dia sangat bertuah kerana serpihan yang tembus di betis tidak mengenai saraf utama.

Selepas sembuh, Azizulhasni berjaya melayakkan diri ke Olimpik London dan sekali di Olimpik Rio pada 2016 dan menjadi atlet berbasikal pertama meraih pingat di Olimpik selepas membawa pulang gangsa. – Malaysiapost


Artikel berkaitan


https://malaysiapost.com.my/2021/02/10/the-poketrocketman-kini-ranking-no-1-acara-pecut/

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here