Akaun rahsia Umno: Presiden, bendahari 1988 paling sesuai jawab – Najib

0
2
Pix via Malaysiapost

ORANG paling sesuai menjawab isu akaun bank Umno pada 1988 ketika Umno baru ditubuhkan adalah presiden serta bendahari parti pada tahun tersebut, kata Datuk Seri Najib Razak.

Ahli Parlimen Pekan itu memberi reaksi terhadap laporan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan digesa menyiasat dakwaan yang dibuat di mahkamah bahawa Umno mempunyai akaun bank rahsia yang tidak diaudit dan melanggar Akta Pertubuhan.

“Berita semalam sebenarnya merujuk kepada akaun bank tahun 1988 masa Umno baru ditubuhkan semasa aset-aset Umno lama yang sengaja diharamkan dipindah ke Umno baru.

“Jadi, orang yang paling sesuai menjawab isu ini adalah presiden serta bendahari Umno masa itu. Korang (anda) kenal siapa mereka?,” kata Najib menerusi hantaran di Facebooknya hari ini.

Semalam Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Dr Muhammad Faiz Na’aman dilaporkan berkata Jabatan Pendaftaran Pertubuhan digesa menyiasat dakwaan yang dibuat di mahkamah bahawa Umno mempunyai akaun bank rahsia yang tidak diaudit yang melanggar Akta Pertubuhan.

“Akaun bank yang tidak diisytiharkan (dan sumbangan politik yang tidak diaudit), jika terbukti berkaitan langsung dengan parti dan kepemimpinan mereka, adalah pelanggaran serius di bawah peraturan ROS.

“Semestinya (perlu siasat). Demi keadilan dan ketelusan,” katanya.

Dr Muhammad Faiz berkata, pendedahan itu merupakan pengkhianatan jelas terhadap perlembagaan Umno dan anggotanya sendiri.

“Hakikat bahawa akaun itu ada sejak tahun 1988 juga akan memburukkan bekas presiden Umno, yang, sudah tentu mengetahui kewujudannya atau mendapat manfaat dari akaun itu,” katanya.

Dr Mahathir Mohamad adalah presiden Umno pada tahun 1988.

Dakwaan berhubung akaun bank rahsia itu dibuat oleh pihak pendakwaan dalam saman sita pelucutan harta berkaitan 1MDB oleh kerajaan terhadap Obyu Holdings.

Umno sebelum ini mendakwa wang yang ingin dirampas oleh kerajaan adalah milik parti itu.

Dalam keterangan bertulis yang membantah dakwaan itu, pihak pendakwa berkata akaun tersebut, yang tidak diaudit, digunakan untuk menerima sumbangan politik.

“Wang tunai yang tidak dihitung, tidak diverifikasi dan tidak diaudit juga menyalahi pelbagai peruntukan dalam Akta Pertubuhan, yang boleh mengakibatkan Umno dibatalkan pendaftaran oleh Pendaftar Pertubuhan,” kata pihak pendakwaan.

Dalam hantaran berasingan, Najib berkata, Dr Mahathir sebelum ini berkata pengharaman Umno lama semasa beliau menjadi presiden pada 1988 adalah bukti paling kukuh Ahli Parlimen Langkawi itu tidak pernah campur tangan dalam urusan perundangan.

“Sebaliknya, penerima manfaat terbesar dari pengharaman Umno lama adalah Tun M juga.

“Haram Umno lama yang ada masalah penipuan pemilihan diharamkan, Umno baru didaftarkan serta-merta tanpa lawannya untuk ganti. Apa masalah?

“Ramai yang percaya Umno lama sengaja diharamkan supaya dia boleh kekal sebagai presiden/PM dan musuh-musuh dia masa itu dapat disingkirkan.

“Sebab itu, Tun M ‘triggered’ semalam apabila saya bangkitkan semula isu ini sehingga dia terpaksa fitnah saya,” katanya. – Malaysiapost


Artikel berkaitan:
https://malaysiapost.com.my/2021/02/10/adakah-tun-m-berhasrat-jadi-rba-paling-tua-dalam-dunia-najib/

https://malaysiapost.com.my/2021/02/10/najib-perlu-fokus-kes-1mdb-tak-payah-campur-hal-saya-tun-m/

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here