AHLI Parlimen Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman Said menyifatkan pengasingan kuasa antara Pendakwa Raya dan Peguam Negara perlu dilaksanakan segera bagi mengembalikan semula keyakinan rakyat terhadap institusi tersebut.
Perkara itu dinyatakan susulan pelbagai pendedahan, rujukan dan komen yang dibuat bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas menerusi bukunya, ‘My Story: Justice in the Wilderness’ baru-baru ini.
“Buku tulisan Thomas mendorong Peguam Negara dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) terpaksa mempertahankan reputasi kakitangan yang bekerja keras di Pejabat Peguam Negara (AGC).
“Namun, realitinya persepsi umum terhadap AGC jelas bertentangan. Tiada autobiografi mahupun kenyataan yang mampu mengubah persepsi terhadap AGC sehinggalah Parlimen bersidang semula dan melakukan perubahan struktur serta reformasi yang diperlukan,”katanya dalam kenyataan, hari ini.
Timbalan Speaker Dewan Rakyat itu berkata, pengasingan kuasa itu juga terkandung dalam manifesto Pakatan Harapan (PH) dahulu kononnya akan segera dilaksanakan sebaik mengambil alih kerajaan.
“Namun dengan pelbagai kajian komprehensif masih berjalan sehinggalah PH tidak lagi berkuasa, ia masih belum terlaksana,” katanya.
Azalina berkata, apa yang terkandung dalam buku Tommy mengenai peruntukan jawatan Peguam Negara seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan, adalah struktur lama dalam era baharu.
Justeru, beliau menegaskan, Parlimen perlu diiktiraf sebagai institusi yang telus bertanggungjawab melakukan semak dan imbang dalam isu pelantikan dan penyingkiran Peguam Negara.
“Dalam konteks kemungkinan berat sebelah, bagaimana seorang individu yang dilantik atas nasihat Perdana Menteri sebagai Peguam Negara mampu menasihatkan kerajaan dan pada masa sama memiliki kuasa untuk mendakwa? Di manakah semak dan imbang?.
“Amat penting untuk kita ingat bahawa jawatan Peguam Negara termaktub dalam Perlembagaan dan oleh itu, Peguam Negara bukan mewakili badan eksekutif atau kehakiman. Peguam Negara seharusnya bebas,” katanya.
Baru-baru ini, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Datuk Fadzil Ahmat memaklumkan, polis membuka kertas siasatan terhadap Tommy berhubung dakwaan memfitnah melalui bukunya, susulan laporan yang dibuat bekas pegawai kanan Jabatan Peguam Negara, Datuk Mohamad Hanafiah Zakaria.
Buku itu mengundang kemarahan dan rasa tidak puas hati pelbagai pihak kerana disifatkan bertentangan dan melanggar sumpah jawatan.
Selain itu, buku terbabit turut menyentuh mengenai peristiwa 13 Mei 1969 yang didakwa ditulis dengan tidak bertanggungjawab tanpa mengira sensitiviti masyarakat, selain tuduhan yang bertujuan merendahkan bekas Perdana Menteri, Tun Abdul Razak Hussein. -Malaysiapost
Artikel berkaitan:
https://malaysiapost.com.my/2021/02/09/pendapat-tommy-thomas-tidak-tepat-kata-majlis-peguam/

