Jangan kecam Chong Wei – Steven Sim

0
2

SEBARANG bentuk bantuan kepada rakyat tidak patut dikaitkan dengan agenda politik parti-parti tertentu.

Sebaliknya menurut Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim Chee Keong, sebarang bentuk sumbangan yang dihulurkan individu tertentu patut dihargai atas sikap bermurah hati untuk membantu golongan yang tidak bernasib baik.

“Saya orang politik. Saya bangga dengan parti saya DAP. Tapi bab bantu rakyat, saya sebagai wakil rakyat tak pernah kaitkan politik kepartian.

“Kita tak tanya pemohon bantuan dia sokong parti mana. Kita tak pernah minta penerima bantuan untuk undi parti sekian-sekian,” catatnya di Facebook, hari ini.

Bekas Timbalan Menteri Belia dan Sukan itu kesal susulan legenda badminton negara Datuk Lee Chong Wei dikecam kerana telah memberikan sumbangan dalam kempen yang dianjurkan untuk rakyat di kawasan parlimennya baru-baru ini.

“Saya berasa amat sedih membaca berita bahawa Lee Chong Wei dikecam oleh sesetengah pihak kerana memberi sumbangan kepada kempen ‘Asal Cek Mau Pi Sekolah’. Sampai mereka gesa gelaran Datuk beliau ditarik balik kononnya kerana sokong DAP.

“Kalau benar sokong DAP pun, tak ada salah. Tapi masalahnya, tindakan Chong Wei bukan kerana politik tapi kerana dia ingin membantu anak-anak kita. Hati saya terasa amat pilu sekali,” catatnya.

Menurut Steven Sim, sudah tiba masanya rakyat Malaysia untuk tidak membezakan pegangan politik masing-masing dalam membantu rakyat yang terkesan teruk akibat pandemik Covid-19 ini.

Malah tindakan Chong Wei itu menurut Steven Sim adalah kerana simpati kepada nasib pelajar di Bukit Mertajam kerana beliau juga adalah anak jati di kawasan itu.

“Kita ke hulu ke hilir mencari laptop. Mencari keluarga miskin. Mencari anak-anak yang hendak belajar tapi tak ada peranti.

“Datang orang yang murah hati macam Chong Wei, kerja kita jadi ringan sedikit.

“Tapi dia buat baik, dia pula dikatakan macam-macam. Adakah adil?,”

Tambah Steven Sim lagi, beliau dan pasukannya hanya menguruskan setiap sumbangan orang ramai dalam menjayakan kempen yang dianjurkannya.

“Bila kita beri laptop/tablet, tak lekat logo parti politik. Tak tulis undi DAP, tak suruh sokong Pakatan Harapan.

“Laptop hanya ada logo syarikat pengeluar, tablet hanya ada cap jenama. Macam mana saya beli dan dapat dari penjual, macam itu juga saya serahkan kepada anak-anak kita.

“Saya ada sertakan sepucuk surat untuk memberi galakkan kepada anak-anak yang menerima peranti, surat itu pun tak ada logo parti politik,” ujarnya.

Justeru, Steven berharap mereka yang masih berfikiran dan bermotif politik itu tidak lagi mengecam bekas pemain badminton nombor satu dunia itu, kerana Chong Wei tidak bersalah dan hanya menunjukkan sifat simpatinya kepada golongan yang kurang bernasib baik.

“Saya orang politik, saya kena serang tak apa, lawan tetap lawan… tapi saya sedih Lee Chong Wei, wira kita kena serang semata-mata nak buat kebajikan. Jika ini sikap mereka, siapa lagi berani buat kerja amal?

“Saya benar-benar minta maaf dengan Chong Wei,” catatnya

Terdahulu, Chong Wei dilaporkan telah menaja 20 buah laptop untu untuk menjayakan program Asal Cek Mau Pi Sekolah untuk pelajar kurang berkemampuan di Parlimen Bukit Mertajam baru baru ini. -Malaysiapost

Artikel berkaitan: https://malaysiapost.com.my/2021/02/08/chong-wei-taja-20-laptop-pula/

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here