PEMIMPIN Veteran DAP, Lim Kit Siang menggesa Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengarahkan Menteri Kesihatan menarik semula peraturan kuarantin melibatkan menteri bagi memastikan tiada layanan berbeza dalam prosedur operasi standard (SOP) kuarantin Covid-19.
Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu berkata, Muhyiddin perlu mengotakan janji beliau dalam perutusan khas Oktober lalu bahawa kerajaan tidak akan memberi layanan berbeza dalam soal pematuhan SOP kuarantin.
“Namun, adakah janji Perdana Menteri ini tidak mempunyai sebarang makna sekiranya Menteri Kesihatan kini boleh mewartakan layanan berbeza dalam pematuhan SOP kuarantin Covid-19 untuk para menteri yang menjadikan penegasan Perdana Menteri pada Oktober tahun lepas untuk tidak masuk akal sama sekali?
“Adakah beliau akan menggunakan rotan terhadap Menteri Kesihatan beliau sendiri?,” katanya kenyataan hari, ini.
Mengulas lanjut Kit Siang berkata, tindakan tersebut bertentangan dengan usaha mengembalikan kepercayaan, keyakinan dan sokongan rakyat terhadap strategi kebangsaan untuk melawan Covid-19.
“Beliau juga perlu beringat kepada jaminan perlembagaan yang menjamin kesamarataan untuk semua rakyat seperti termaktub dalam Artikel 8 Perlembagaan Persekutuan,” katanya.
Terdahulu, Malaysiapost melaporkan jemaah menteri yang pulang dari lawatan rasmi luar negara hendaklah menjalani pemerhatian selama tiga hari atau pengawasan sehingga boleh dilepaskan tanpa membahayakan orang ramai.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, perintah tersebut dinamakan Perintah Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Pengecualian) 2021.
“Perintah ini berkuatkuasa bagi tempoh mulai 9 Februari 2021 hingga 1 Ogos 2021.
“Tertakluk kepada perenggan 3, menteri mengecualikan jemaah menteri yang kembali dari mana-mana lawatan rasmi luar negara daripada pemakaian Seksyen 15 Akta,” katanya.
Kenyataan Dr Adham itu terkandung dalam Warta Kerajaan Persekutuaan: Perintah Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Pengecualian) 2021 yang bertarikh 2 Februari 2021. – Malaysiapost
Artikel berkaitan:
https://malaysiapost.com.my/2021/02/08/menteri-pulang-dari-luar-negara-tidak-perlu-dikuarantin/

