Peluang United tipis – Ferdinand

0
2

BEKAS tonggak pertahanan Manchester United, Rio Ferdinand percaya pasukan Setan Merah sudah terkeluar daripada persaingan kejuaraan selepas tercicir mata ketika menentang Everton, Sabtu lalu.

Skuad kendalian Ole Gunnar Solskjaer terlepas peluang menyamai kutipan mata pendahulu Liga Perdana Inggeris Manchester City – yang bermain kurang satu perlawanan – selepas Dominic Calvert-Lewin menjaringkan gol penyamaan minit ke-95 untuk Everton mengikat United 3-3.

“Kami tidak menjangkakan untuk menjadi pencabar kejuaraan musim ini. Kami ketinggalan terlalu jauh di belakang Liverpool musim lalu. Anda tidak boleh menjangka lonjakan amat besar untuk memenangi liga, ia mustahil.

“Tetapi saya seperti peminat lain. Anda melihat kedudukan liga, melihat keputusan, anda menjadi teruja,” katanya seperti dilapor Agensi.

Ferdinand berkata ketika berada di kedudukan terbaik, United perlu memanfaatkannya, namun sebaliknya berlaku.

“Apabila peluang terbuka, anda perlu memanfaatkannya. Masalahnya ialah kami membiarkan peluang itu terlepas daripada genggaman.

“Anda boleh lihat Manchester City dengan pengalaman mereka, mereka dapat peluang dan menggunakannya dengan baik.

“Tetapi United tersangkut-sangkut, tidak melakukannya dengan lancar. Ia menyingkirkan kami daripada saingan kejuaraan, kecuali kami menukar tabiat dan lebih konsisten,” kata Ferdinand. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here