BEKAS Penyelaras Parlimen Jasin, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan menyatakan beliau berbesar hati dan tidak menghalang Badan Peguam Malaysia melantik Peguam Pemerhati kepada saman pemula terhadap Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan kerajaan.
Menurutnya, beliau juga ingin menyeru pihak lain yang sayangkan prinsip ‘Rule of Law’ harus tampil ke hadapan menyelamatkan perlembagaan serta sistem perundangan negara.
“Dalam erti kata lain, saya ingin menyeru pihak lain yang mempunyai integriti yang sama untuk tampil ke hadapan.
“Kita harus perangi semua pihak tidak amanah dan tidak bertanggungjawab dari terus meranapkan sistem perundangan negara yang berkemungkinan juga bakal mencacatkan keutuhan perlembagaan negara,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Khairuddin berkata, sistem perundangan negara dan Perlembagaan Persekutuan harus dijunjung erat oleh semua pihak tanpa sebarang bentuk komproni.
“Kini, sudah sampai masanya untuk kita semua ketepikan segala perbedaan pendapat dalam politik khususnya dan terus bersatu padu ke arah melawan segala bentuk salah laku secara sepadu agar sistem undang-undang negara terus mekar berteraskan Keluhuran Perlembagaan Persekutuan,” katanya.
Badan Peguam Negara melalui satu surat rasmi bertarikh hari ini memberitahu, melantik Fahri Azzat daripada Tetuan Fahri & Co sebagai Peguam Pemerhati untuk kes Mahkamah Tinggi Rayuan dan Kuasa-Kuasa Khas 2 No. Kes: WA-24-3-01/2021 1.
Ia melibatkan penama Khairuddin Abu Hassan dan Tan Sri Mahiaddin Md Yassin serta kerajaan Malaysia.
Kandungan surat itu turut menjelaskan, diharap pelantikan Peguam Pemerhati direkodkan dalam fail mahkamah agar pihak mereka dimaklumkan mengenai tarikh sebutan dan/atau perbicaraan bagi membolehkan Peguam Pemerhati menghadirinya.
Sebelum ini, Khairuddin mendakwa pengisytiharan darurat oleh Yang di-Pertuan Agong pada 12 Januari lalu tidak sah dan tidak berperlembagaan.
Katanya, ia kerana proklamasi tersebut dibuat atas nasihat salah Perdana Menteri yang telah hilang sokongan majoriti dan kepercayaan Ahli-ahli Parlimen.
Sehubungan itu, beliau telah memfailkan saman pemula berhubung perkara berkenaan dan memohon Mahkamah Tinggi untuk memutuskan empat persoalan berkaitan dengan pengisytiharan itu. – Malaysiapost
Artikel berkaitan :

