‘Elya’ lukakan hati ketika rakyat menaruh harapan – Zahid

0
2

APA lagi Elya mahu? soal Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi susulan masalah teknikal bagi paparan status permohonan kemudahan i-Sinar.

Ahli Parlimen Bagan Datuk itu berkata situasi yang dialami pada sistem Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) tidak seharusnya berlaku ketika rakyat menaruh harapan.

“Dua bulan lalu nama Elya menjadi sebutan rakyat Malaysia. Begitu ramai memuji Elya walaupun Elya sekadar emoji kartun. Pujian terhadap Elya melambung tinggi. Nama Elya begitu gah di media sosial dan menggembirakan ramai orang.

“Elya memberi nafas baru dan melapangkan benak pencarum KWSP. Elya kata boleh keluarkan duit akaun 1 antara RM10,000 hingga RM60,000. Semalam, Elya menggembirakan pula pemohon i-Sinar bagi kategori 2. Namun, kegembiraan itu hanya bertahan beberapa jam.

“Kenapa Elya melukakan hati pencarum. Mengapa Elya sanggup melakukan U-Turn? Sampai hati Elya. Ramai yang menaruh harap pada Elya,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Menerusi hantaran sama, Ahmad Zahid berkongsi pautan berita yang disiarkan Malaysiapost berhubung isu berkenaan.

“Alasan yang diberikan Elya adalah masalah teknikal bagi paparan status permohonan kemudahan i-Sinar. Ia tidak patut berlaku tatkala ramai menaruh harapan. Elya tahu ramai pencarum berdepan kesukaran hiudp akibat pandemik Covid-19 dan PKP 2.0.

“Elya jangan mudah permainkan hati dan perasaan. Elya jangan suka main silap mata. Hari ini semak lulus, esok semak gagal. Dokumen dah serah. Apa lagi Elya mahu?,” katanya.

Terdahulu, KWSP memaklumkan pihaknya menghadapi masalah teknikal bagi paparan status permohonan kemudahan i-Sinar.

Kenyataan tersebut menyusul beberapa jam selepas kebanyakan permohonan i-Sinar kategori 2 dilaporkan telah lulus selepas membuat semakan bermula semalam.

KWSP dalam kenyataan di laman Instagram dan Facebook tengah malam tadi memohon maaf atas kesulitan yang berlaku.

“KWSP ingin memohon maaf atas kesulitan kerana terdapat masalah teknikal pada paparan status I-Sinar online.

“Anda disarankan untuk menyemak semula status anda bermula 8 pagi pada 8 Februari 2021,” menurut kenyataan itu. – Malaysiapost


Artikel berkaitan:
https://malaysiapost.com.my/2021/02/08/status-i-sinar-lulus-kwsp-maklum-berlaku-kesilapan-teknikal/

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here