Emosi, mental pemain terganggu – Safee Sali

0
2

PRESIDEN Persatuan Pemain Bola Sepak Profesional Malaysia (PFAM), Safee Sali mengakui emosi dan mental pemain terganggu jika Liga Malaysia (Liga M) ditangguh terlalu lama atau dibatalkan.

Penjaring terbanyak Piala AFF Suzuki 2010 itu berkata ia bukan sahaja memberikan impak negatif terhadap kebajikan pemain dan pegawai, malah semua pihak yang terlibat dengan industri bola sepak negara.

“Buat masa ini, saya mewakili pemain lain boleh menerima keputusan MFL (Liga Bola Sepak Malaysia) untuk menangguhkan Liga Malaysia kepada 5 Mac berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Cuma saya harap tidaklah sampai dibatalkan, impaknya pasti sukar kepada pemain dan pegawai yang terlibat, jadi saya mengharapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) boleh memberi kelonggaran dalam soal ini,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata pemain boleh menerima penangguhan tetapi bukan pembatalan kerana situasi itu pasti memberi kesan besar kepada kemampuan pasukan dalam membayar gaji pemain.

“Inilah satu-satunya pendapatan kami dan saya harap MKN dapat melihat akan kepentingan dari sudut ekonomi kerana industri bola sepak sebenarnya cukup besar di negara ini.

“Sebagai balasan, segala SOP (prosedur operasi standard) yang akan dibentangkan nanti, kami sebagai pemain akan ikuti tanpa sebarang masalah biarpun mungkin lebih ketat berbanding sebelum ini,” katanya.

Sebelum ini, MFL terpaksa menunda sepak mula Liga M yang sepatutnya berlangsung pada 26 Februari kepada 5 Mac ini susulan PKP di seluruh negara kecuali Sarawak. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here