SEBUTAN semula kes pendakwah selebriti, Syed Shah Iqmal Syed Mohammad Shaiful atau Da’i Syed terhadap pertuduhan merogol seorang wanita ditetapkan pada 16 Mac ini di Mahkamah Sesyen Shah Alam.
Perkara tersebut dimaklumkan oleh peguamnya, Syed Amirul Syed Edrose.
Menurut Syed Amirul, sebutan semula kes itu yang sepatutnya berlangsung di Mahkamah berkenaan pada 25 Januari lalu ditunda berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang bermula pada 13 Januari lalu.
“Tarikh itu dimaklumkan oleh mahkamah melalui panggilan telefon.
” Bagaimanapun sebutan semula kes bagi dua lagi pertuduhan di Mahkamah Petaling Jaya yang dijadualkan pada 19 Februari ini, setakat ini masih lagi dikekalkan,” katanya seperti dilapor Kosmo.
Pada 10 Disember tahun lalu, Syed Shah Iqmal, 26, mengaku tidak bersalah di tiga mahkamah berasingan atas pertuduhan melakukan seks oral, mencabul dan merogol dua wanita pada September dan Oktober dua tahun lalu.
Di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya, Syed Shah Iqmal didakwa atas pertuduhan melakukan persetubuhan yang bertentangan dengan aturan tabii terhadap seorang wanita yang juga penuntut kolej swasta berusia 22 tahun.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di sebuah rumah di Damansara Perdana antara jam 3 pagi hingga 4 pagi pada 17 Oktober 2020 dan pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan.
Sementara itu, di Mahkamah Majistret Petaling Jaya pendakwah itu didakwa atas pertuduhan menggunakan kekerasan jenayah terhadap mangsa sama dengan maksud hendak mencabul kehormatannya di tempat, waktu dan tarikh yang sama mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan.
Bagi pertuduhan ketiga di Mahkamah Sesyen Shah Alam, Syed Shah Iqmal didakwa atas pertuduhan merogol seorang wanita berusia 23 tahun yang juga penganggur di sebuah rumah di Seksyen 7 di sini, jam 11.35 malam pada 11
September 2019 lalu, mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan.- Malaysiapost
Artikel berkaitan: https://malaysiapost.com.my/2020/11/24/dai-syed-buat-laporan-polis-dituduh-merogol-gadis/

