SEBANYAK 73 daripada 512 kematian akibat Covid-19 di Malaysia yang direkodkan sejak Disember lalu, dilaporkan berlaku sebelum tiba di hospital.
Daripada jumlah itu, seramai 22 orang meninggal dunia sebelum sempat mendapatkan rawatan pada Disember tahun lalu, manakala 41 lagi pada Januari tahun ini.
Minggu lalu sahaja 10 kematian direkodkan dengan mangsa termuda melibatkan gadis berusia 18 tahun yang meninggal dunia sebelum sempat tiba di Hospital Selayang, Selangor, lapor Malaysiakini.
Sebelum ini, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba memaklumkan pesakit Covid-19 yang memiliki gejala ringan atau tidak memiliki gejala, dibenar menjalani rawatan di rumah.
Contoh lain kes kematian di rumah adalah pada 27 Januari lalu membabitkan seorang pegawai polis yang meninggal dunia ketika menjalani kuarantin di rumah.
Dia meninggal pada hari keenam ketika menjalani kuarantin.
Kematian di rumah menunjukkan betapa pentingnya Pusat Penilaian Covid-19 (CAC), yang ditubuhkan kerajaan di setiap daerah.
Salah satu CAC terbesar adalah di Stadium Malawati di Shah Alam, yang boleh menampung sehingga 1,500 pesakit sehari.
CAC berperanan untuk menilai sama ada pesakit Covid-19 harus dimasukkan ke hospital, dihantar ke pusat kuarantin dan rawatan berisiko rendah (PKRC) atau dibenarkan menjalani pemulihan di rumah.
Secara umumnya, pesakit yang memerlukan rawatan lebih serius akan dihantar ke hospital, manakala mereka yang berisiko rendah tetapi masih memerlukan pemantauan akan dihantar ke PKRC.
KKM juga menasihati pesakit yang dibenar menjalani kuarantin di rumah supaya melaporkan keadaan mereka secara berkala melalui aplikasi MySejahtera.
Mereka juga harus mendapatkan rawatan segera sekiranya keadaan bertambah buruk. – Malaysiapost

