NYAWA hampir melayang. Itu yang dihadapi seorang lelaki apabila bekas jirannya datang ke rumah dalam keadaan mengamuk di Sungai Semambu, Bukit Mertajam, Pulau Pinang, awal pagi semalam.
Suspek berusia 30-an itu dikatakan pergi ke rumah mangsa berusia 30 tahun tersebut sambil membawa selaras senapang angin kira-kira jam 1 pagi sambil menuduh mangsa mempunyai hubungan sulit dengan isterinya.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Shafee Abd. Samad berkata mangsa yang bekerja sebagai operator kilang itu menyedari kehadiran suspek selepas dia memecahkan cermin tingkap rumah.
“Ketika pengadu membuka pintu, suspek yang berada di hadapan rumahnya telah mengacukan senapang angin ke arah lelaki itu.
“Suspek meminta pengadu mengaku pernah melakukan hubungan seks dengan isterinya, namun perkata itu dinafikan sebelum dia melepaskan dua das tembakan amaran (ke udara),” katanya kepada media, hari ini.
Shafee berkata, suspek kemudian beredar dari rumah mangsa dan sempat mengeluarkan kata-kata ugutan akan membunuh lelaki itu sekiranya dia membuat laporan polis.
“Suspek bagaimanapun telah ditahan semalam dan polis turut merampas selaras senapang angin.
“Siasatan mendapati mereka sebelum ini berjiran selang beberapa rumah sebelum suspek berpindah keluar dari kawasan perumahan kampung itu pada April tahun lalu,” katanya.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 36 Akta Senjata 1960 dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan. – Malaysiapost

