Kerajaan fail saman RM67.9 juta dari sekutu Jho Low

0
2

KERAJAAN memfailkan saman berjumlah RM67.9 juta terhadap individu yang didakwa sebagai sekutu kepada Ahli Perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho, iaitu Tan Kim Loong atas dakwaan tidak membayar cukai.

Writ saman itu difailkan terhadap Tan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 15 Januari lalu, yang turut diburu pihak berkuasa.

Menurut salinan pernyataan tuntutan, kerajaan menuntut cukai yang didakwa tidak dibayar berjumlah RM67,996,891.87 bagi tahun taksiran 2010 hingga 2013.

Nombor kad pengenalan yang dinyatakan dalam writ saman tersebut sama dengan nombor milik individu yang diburu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sejak 2018 bagi membantu siasatan terhadap 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Nama Tan muncul ketika perbicaraan kes SRC International berjumlah RM42 juta terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak tahun lalu.

Menurut kenyataan Tan kepada SPRM di Arab Saudi pada 27 November 2015, beliau didakwa sebagai pemilik benifisiari beberapa syarikat yang didakwa menyalurkan beberapa bilion ringgit kepada akaun Najib antara 2011 dan 2015.

Ketika itu, Tan mendakwa dia tidak tahu identiti penerima wang yang disalurkannya.

Menerusi saman ini, kerajaan mendakwa notis taksiran cukai telah dihantar ke alamat berdaftar milik Tan di Taman Pusat Kepong, Kuala Lumpur pada 24 November 2020.

“Notis-notis taksiran tersebut tidak pernah dikembalikan kepada plaintif tanpa serah.

“Sehingga kini, defendan masih gagal membayar kepada plaintif amaun cukai pendapatan defendan yang masih terhutang dan genap masanya dan kena dibayar bagi tahun taksiran 2010, 2011, 2012 dan 2013, termasuk kenaikan yang dikenakan yang kesemuanya berjumlah RM67,996,891.87,” katanya seperti dilapor MalaysiaKini

Jumlah itu termasuk denda atas dakwaan gagal membayar cukai pada tahun yang dinyatakan.

Plaintif juga menuntut faedah lima peratus setiap tahun terhadap jumlah cukai dari tahun penghakiman sehingga tarikh pembayaran, kos dan sebarang relif yang disifatkan sesuai oleh mahkamah. -Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here