Keputusan beku lesen baharu kurier, punca perkhidmatan merosot – Zahid

0
2

TINDAKAN syarikat kurier mengupah lebih banyak pekerja sementara membuktikan permintaan industri itu ketika ini melebihi penawaran susulan pandemik Covid-19.

Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata namun kerajaan membuat keputusan membekukan pemberian lesen baharu perkhidmatan kurier selama dua tahun bermula 14 September 2020 hingga 15 September 2021.

Beliau berkata, langkah itu ekoran gesaan rasmi oleh persatuan syarikat kurier sedia ada supaya kerajaan tidak lagi menerima permohonan lesen baharu.

“Ini bermakna pembekuan pemberian lesen baharu perkhidmatan kurier dibuat pada waktu permintaan terhadap perkhidmatan itu paling memuncak.

“Kita kena ingat. Pada waktu pandemik Covid-19 dan PKP inilah perkhidmatan kurier amat-amat diperlukan rakyat.

“Macam-macam perlu dihantar ke sana ke sini selepas berulang kali mereka diberi peringatan jangan bergerak ke sana ke sini,” katanya dalam hantaran di Facebook.

Ahmad Zahid berkata, adalah lebih banyak syarikat perkhidmatan kurier beroperasi lebih baik kepada rakyat kerana memberi lebih pilihan.

Katanya, memberi lebih kuasa pengguna, persaingan kualiti perkhidmatan, menjana lebih peluang pekerjaan.

“Ramai pihak malah berpandangan industri kurier di Malaysia akan terus berkembang walaupun selepas pandemik Covid-19 berakhir.

“Ia akan menjadi salah satu perkhidmatan yang menjadi kebiasaan masyarakat Malaysia di bandar mahupun di desa,” katanya.

Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu berkata, Penilaian Kurier Tahunan berasaskan Indeks Pelanggan Perkhidmatan Industri Kurier dua tahun lalu juga mendapati kualiti perkhidmatan industri kurier negara mengalami peningkatan.

“Meningkat kepada 70 peratus pada 2019 berbanding 66 peratus pada tahun sebelumnya. Penilaian itu dibuat sebelum pandemik Covid-19 melanda Malaysia.

“Saya berharap pihak Kerajaan jangan hanya mendengar permintaan pihak syarikat kurier untuk dibekukan lesen syarikat kurier sehingga menjejaskan mutu perkhidmatan yang ditawarkan.

“Sedangkan kemunculan lebih banyak syarikat akan membuka peluang persaingan yang sihat kepada industri kurier dan mampu memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat.

“Saya hanya meluahkan suara hati rakyat demi menjaga kepentingan rakyat kerana rakyat juga yang akan menentukan jatuh bangun sesebuah kepimpinan pada satu masa nanti,” katanya.

Menyentuh mengenai video viral membabitkan sebuah syarikat kurier semalam Ahmad Zahid berkata, baginya perkara itu tidak patut pun berlaku.

“Kebajikan golongan pekerja perlu sentiasa diutamakan, manakala golongan pekerja perlu menggalas amanah dengan baik.

“Apabila dua komponen ini saling melengkapi, maka operasi sesebuah organisasi akan berjalan dengan lancar,” katanya. -Malaysiapost

Artikel berkaitan: https://malaysiapost.com.my/2021/02/07/pekerja-jt-campak-barang-tampil-mohon-maaf/

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here