PDRM akui pegawai, anggota masih keliru berhubung pematuhan SOP

0
3

POLIS Diraja Malaysia (PDRM) mengakui 100,000 pegawai dan anggotanya masih keliru dan bercanggah pendapat berhubung pematuhan prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Kekeliruan itu menyebabkan ada segelintir rakyat ‘tersalah’ dikenakan kompaun dan ia tidak termasuk 13 lagi agensi terlibat dengan empat daripadanya turut diberi kuasa mengeluarkan kompaun.

Antaranya Kementerian Kesihatan (KKM), Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Jabatan Imigresen dan Kementerian Perdagangan Dalam Ne­geri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).

Bercakap kepada Mingguan Malaysia, Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman, Datuk Seri Abd Rahim Jaafar mengakui masih terdapat kekangan daripada pihak penguatkuasaan sendiri dalam proses menyalurkan maklumat kepada semua peringkat mengikut SOP dikeluarkan Majlis Kese­lamatan Negara (MKN).

Perkara itu, jelasnya tidak dapat dielakkan kerana setiap orang mempunyai pemahaman berlainan dan pelbagai ragam dapat dilihat dalam kelompok penguat kuasa.

“Kita tak nafikan kadangkala pemahaman setiap orang berlainan jadi memang akan terbit masalah mengenai hal ini. Kita pun masih dalam proses untuk memahamkan anggota dan pegawai kita mengenai undang-undang SOP dalam tempoh PKP ini.

“Kalau dilihat dari segi komunikasi biasa pun, apabila kita sampaikan maklumat kepada orang pertama nanti orang ke 10 akan dapat maklumat berbeza. Jadi, cuba bayangkan penyaluran maklumat terhadap 100,000 pegawai dan anggota seluruh negara, tentu akan wujud masalah.

“Perkara ini kita perbaiki dari masa ke masa tambahan pula SOP sentiasa berubah mengikut keadaan semasa penularan Covid-19 ini,” katanya.

Abd Rahim bagaimanapun berkata, berbanding sebelum ini, pihak berkuasa semakin peka dan lebih memahami situasi yang membolehkan mereka mengeluarkan kompaun dan sebaliknya.

Malah katanya, dalam mesyuarat yang diadakan setiap minggu pelbagai penambahbaikan diutarakan antaranya meminta Ketua Polis Daerah turun padang untuk maklumkan SOP kepada anggota masing-masing supaya pematuhan dapat dilaksanakan secara konsisten.

“Dulu memang banyak (kesalahan kompaun tidak wajar) namun sekarang sudah berkurangan. Sebagai contoh, ada yang keluarkan kompaun kerana individu ini berada di luar lebih dari jam 9 malam sedangkan tak ada dalam undang-undang melarang perbuatan itu.

“Namun, undang-undang tidak boleh keluar rumah tanpa sebab yang munasabah itu memang ada. Oleh itu, pegawai yang memahami undang-undang dari sudut itu mungkin merasakan tindakan kompaun itu betul.

“Jadi, kita normalisasikan brief and debrief. Sebelum pasukan pematuhan SOP keluar menjalankan pemantauan kita akan jelaskan SOP kepada mereka, kemudian bila mereka balik daripada penugasan kita akan periksa semula kompaun dikeluarkan adakah dibuat mengikut SOP,” katanya. – Malaysiapost

Artikel berkaitan:

https://malaysiapost.com.my/2021/02/06/makan-dalam-kereta-tidak-langar-sop-pkp-polis/

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here