Kerana cinta terlarang melayang RM2,000

0
2

CINTA punya pasal, RM2,000 melayang. Itulah keadaan yang dihadapi sepasang kekasih yang dikenakan kompaun kerana melanggar SOP Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat merentas daerah ke Tanjung Dawai, Kedah, semalam.

Pasangan berkenaan, seorang lelaki berumur 47 tahun berasal dari Sik dan teman wanitanya, 27, dari Pendang ditahan polis kira-kira jam 11.10 pagi ketika berdua-duaan dalam sebuah kereta di pantai.

Mereka kemudian dikenakan kompaun sebanyak RM1,000 tiap seorang.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah berkata, ketika ditahan, pasangan kekasih itu mengaku merentas daerah kerana bosan berada di rumah dan keluar untuk mengunjungi pantai berkenaan.

“Siasatan lanjut polis mendapati lelaki itu telah menggunakan laluan tikus dari rumahnya di Sik sebelum menjemput pasangannya di Pendang untuk ke Tanjung Dawai.

“Bagaimanapun, kecekapan polis yang sentiasa memantau semua laluan telah berjaya mengesan pasangan itu sebelum menahan dan mengeluarkan kompaun kerana kesalahan langgar PKP,” katanya, hari ini.

Menurut Adzli, sepanjang PKP 2.0 ini sebanyak 203 kompaun dikeluarkan polis kerana gagal mematuhi SOP PKP.

Katanya, antara kesalahan utama ialah tidak memakai pelitup muka di tempat awam sebanyak 86 kes dan merentas daerah 60 kes serta selebihnya tangkapan kerana gagal mematuhi penjarakan sosial dan gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri membabitkan warganegara asing.-Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here