Sesi persekolahan secara bersemuka bagi calon SPM, SVM berakhir 9 Feb

0
2

SESI persekolahan secara bersemuka bagi semua calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Vokasional Malaysia (SVM) tahun 2020 akan berakhir 9 Februari ini.

Perkara itu dinyatakan Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Dr Habibah Abdul Rahim menerusi satu pekeliling bertarikh 4 Februari yang ditujukan kepada semua Ketua Bahagian dan Pengarah Pendidikan Negeri di bawah Kementerian Pendidikan (KPM).

“KPM ingin memaklumkan bahawa sesi persekolahan secara bersemuka bagi semua calon peperiksaan SPM dan SVM tahun 2020 akan berakhir pada 9 Februari 2021.

“Ini bagi memberi ruang kepada murid untuk membuat persediaan kendiri sebelum peperiksaan bermula pada 22 Februari 2021,” katanya.

Bagaimanapun Habibah menyatakan pelajar yang tinggal di asrama sekolah perlu kekal berada di asrama.

Namun pengecualian diberi kepada pelajar yang ingin menyambut Tahun Baharu Cina bersama keluarga yang dibenarkan pulang selepas sesi persekolahan 9 Februari ini.

“Kebenaran ini tertakluk kepada arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang sedang berkuat kuasa,” katanya.

Habibah berkata, pelajar yang kembali ke asrama selepas Tahun Baharu Cina akan diasingkan selama 10 hari di asrama dan akan mengambil peperiksaan di bilik khas dalam tempoh tersebut.

Selain itu, pelajar yang ingin kekal di rumah dibenarkan menduduki peperiksaan sebagai calon menumpang di pusat peperiksaan berhampiran.

“Bagi tujuan itu, ibu bapa atau penjaga perlu memaklumkan perkara ini kepada pihak sekolah selewat-lewatnya 9 Februari ini.

“Pihak sekolah hendaklah memaklumkan perkara tersebut kepada Sektor Pentaksiran dan Peperiksaan, Jabatan Pendidikan Negeri untuk tindakan lanjut.

“Ini bagi membolehkan urusan peperiksaan dilaksanakan dengan lancar,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here