Pacuan empat roda bawa 500kg ketum terbalik

0
2

POLIS menemui 500 kilogram (kg) daun ketum yang cuba diseludup ke negara jiran melalui laluan tikus di Kampung Kolam, Padang Besar dengan menggunakan sebuah pacuan empat roda, awal pagi semalam. 

Dalam kejadian kira-kira jam 8 pagi itu, cubaan menyeludup gagal apabila kenderaan yang membawa barang terlarang itu terbalik akibat terbabas selepas dikejar polis. 

Ketua Polis Daerah Padang Besar, Superintendan Saifudin Aslin Abbas.berkata kejayaan itu hasil maklumat awam dan risikan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padang Besar. 

Menurutnya, pasukan peronda menemui kenderaan jenis Mitsubishi Pajero berwarna biru gelap dalam keadaan mencurigakan dan disyaki membawa ketum. 

“Polis kemudian mengejar kenderaan itu dan tidak lama kemudian, ia dijumpai tanpa pemandunya yang dipercayai melarikan diri ke dalam hutan berhampiran selepas terbabas dan mengalami kemalangan.

“Hasil pemeriksaan di dalam kenderaan tersebut menjumpai 15 guni berwarna putih yang mengandungi daun disyaki ketum. 

“Nilai rampasan seberat 500kg itu dianggar sebanyak RM1,000 dan dipercayai bertujuan diseludup ke Thailand melalui jalan Felda Mata Ayer,” katanya dalam satu kenyataan hari ini. 

Menurutnya, kesemua barang berkenaan dirampas untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952 yang jika sabit kesalahan boleh dijatuhi hukuman denda maksimum RM10,000 dan penjara maksimum empat tahun.

“Orang ramai boleh menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti pengedaran dadah atau penyeludupan daun ketum dengan menghubungi talian hotline IPD Padang Besar yang beroperasi 24 jam 04-9491481 berserta dengan maklumat lengkap dan identiti anda akan dirahsiakan,” katanya. – Malaysiapost 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here