JUMLAH kes harian Covid-19 yang masih belum menujukkan tanda penurunan menjadikan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah terus sibuk dengan ‘turun’ padang untuk meninjau situasi di negeri-negeri.
Terbaru pada hari ini, beliau bersama-sama dengan Datuk Dr Ismail Ali iaitu Pengarah Kesihatan Negeri Melaka membuat lawatan kerja rasmi ke Kem Pusat Latihan Khidmat Negara (PLKN) di negeri Melaka.
“Kem PLKN ini telah digazetkan sebagai penjara satelit bagi tahanan sementara sebelum dijatuhkan hukuman. Banduan akan ditempatkan di Penjara Satelit bagi tempoh minimum 10 hari bagi membolehkan saringan Covid-19 dilaksanakan.
“Sekiranya terdapat tahanan yang dikesan positif, mereka akan dihantar ke Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) Penjara Sungai Udang, Melaka bagi tujuan rawatan dan isolasi,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Dr Noor Hisham juga menjelaskan semua kontak kes akan menjalani kuarantin selama 10 hari dari tarikh akhir pendedahan dan dipantau oleh pasukan perubatan di Penjara tersebut.
“Pengambilalihan sementara Kem-kem PLKN dan Kem-kem Wawasan sebagai Pusat Tahanan dan Kuarantin Sementara Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) dan penjara sementara merupakan sebahagian daripada tindakan serta merta Kerajaan untuk mengurangkan kesesakan di depoh-depoh tahanan Jabatan Imigresen Malaysia dan penjara.
“Ini secara langsung dapat mencegah dan mengawal penularan Covid-19 dalam kalangan tahanan. Kepatuhan kepada SOP terutamanya di dalam institusi tahanan amatlah penting demi memastikan rantaian jangkitan penyakit berjangkit di kalangan tahanan dapat diputuskan,” katanya.
Katanya, kesesakan di dalam penjara dan depot tahanan merupakan cabaran utama yang perlu dicari penyelesaian segera dan jangka panjang secara bersepadu oleh semua pihak. -Malaysiapost
Artikel berkaitan:
https://malaysiapost.com.my/2021/02/04/pkp-2-0-separuh-masak-kerajaan-perlu-pendekatan-baharu-najib/

