Isa Samad lunas baki wang jaminan RM700,000

0
2

BEKAS Pengerusi Felda, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad hadir di Mahkamah Tinggi, Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur hari ini bagi melunaskan baki ikat jamin sebanyak RM700,000.

Mohd Isa yang lebih dikenali sebagai Isa Samad tiba pada jam 10.36 pagi tadi, memakai kemeja biru bersama isteri, Puan Seri Bibi Sharliza Mohd Khalid selaku penjamin

Beliau kemudian dilihat keluar bersama pengikutnya menerusi pintu utama mahkamah pada jam 1.52 petang selepas selesai pembayaran di kaunter pendaftaran jenayah Mahkamah Tinggi.

Sementara itu, ketika ditemui di lobi mahkamah, peguam, mewakili Isa Samad, Siti Sarah Khalil berkata, pihaknya telah memfailkan rayuan pada jam 11 pagi.

Semalam, Isa Samad dihukum penjara 54 tahun dan denda RM15.45 juta oleh Mahkamah Tinggi di sini selepas didapati bersalah atas sembilan pertuduhan kes rasuah RM3.09 juta berkaitan pembelian Merdeka Palace Hotel & Suites di Kuching, tujuh tahun lalu.

Bagaimanapun, semua hukuman penjara itu diperintahkan berjalan secara serentak dan ini bermakna Isa Samad dipenjara selama enam tahun.

Mahkamah turut memerintahkan Isa Samad dihukum penjara 18 tahun jika gagal membayar denda.

Dalam masa sama, Mahkamah membenarkan beliau untuk menangguhkan kesemua hukuman penjara dan denda sehingga rayuan dengan syarat iaitu jumlah jaminan dinaikkan daripada RM800,000 kepada RM1.5 juta yang perlu dilunaskan sebelum jam 2 petang hari ini.

Selain itu, Isa Samad juga diarah untuk melaporkan diri di balai polis berdekatan pada 1 hari bulan setiap bulan.

Mohd Isa, 72, didakwa atas sembilan pertuduhan menerima suapan untuk dirinya berjumlah RM3.09 juta daripada Ikhwan Zaidel iaitu Ahli Lembaga Pengarah Gegasan Abadi Properties Sdn Bhd (GAPSB) menerusi bekas pegawai politik khas beliau, Muhammad Zahid Md Arip sebagai tanda terima kasih kerana membantu meluluskan pembelian hotel oleh Felda Investment Corporation Sdn Bhd (FICSB) pada harga RM160 juta.

Semua kesalahan itu didakwa dilakukan di Tingkat 49, Menara Felda, Platinum Park, No. 11, Persiaran KLCC di sini antara 21 Julai 2014 dan 11 Disember 2015.

Pertuduhan menurut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan. -Malaysiapost

Artikel berkaitan:

https://malaysiapost.com.my/2021/02/03/isa-samad-disabitkan-bersalah-9-tuduhan-rasuah/

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here