Nurul Huda Abhar
BEKAS Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak memaklumkan pendekatan baharu perlu diambil serta-merta bagi membendung penularan Covid-19.
Katanya, ia perlu dilaksanakan setelah kerajaan membazirkan peluang untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang ketat selama 14 hari.
“PKP 2.0 separuh masak ini sudah gagal dari segi menurunkan kadar keberjangkitan, jumlah pesakit dalam ICU, kes baru (hari pertama PKP 13 Jan: 2,985 kes, semalam: 4,284 kes), kadar kematian dan dari segi bantuan kepada Rakyat,” katanya dalam kenyataan di Facebook, hari ini.
Beliau juga memberi empat cadangan bagi membendung situasi Covid-19 agar kerajaan tidak mengulangi kesalahan yang sama iaitu:
Cadangan 1: Mengaktif dan menambah ciri notifikasi/pengesanan kontak rapat automatik Google/Apple kepada sistem MySejahtera untuk meringankan beban pengesanan kontak rapat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) supaya rakyat yang terdedah kepada kes positif Covid akan diberi amaran secepat mungkin agar mereka boleh mengambil tindakan untuk tidak menjangkit keluarga dan kawan-kawan mereka serta mengambil langkah seterusnya untuk disaring.
Seperti disaran saya sebelum ini, sistem notifikasi kontak rapat ini adalah percuma dan ianya dapat ditambah kepada MySejahtera dengan murah, mudah dan laju:
Cadangan 2: Memperluaskan saringan Covid seluruh negara.
Sebenarnya kerajaan telah melakukan kesilapan dalam tempoh PKP 2.0 apabila mereka umum bahawa hanya kontak rapat kes positif yang bergejala akan disaring biarpun sehingga 80 peratus daripada mereka yang positif Covid tidak bergejala tetapi mampu menjangkit orang lain.
Dengan itu, saya harap kerajaan akan memperluaskan lagi kapasiti dan mempermudahkan lagi rakyat boleh disaring. Dengan wujudnya kit ujian pantas Covid (RTK-antigen) mudah guna dengan kosnya antara RM60 ke RM150 yang sudah digunakan di Malaysia, kerajaan patut melatih dan mewujudkan satu pasukan pegawai saringan di seluruh negara.
Pusat-pusat saringan sementara juga perlu diwujudkan secara meluas di seluruh negara. Memandangkan pendapatan ramai yang telah terjejas, kerajaan juga perlu memberi subsidi sehingga RM50 bagi setiap kit ujian pantas.
10 juta kit X RM50 = RM500 juta.
Kerajaan sendiri yang kata negara rugi RM700 juta setiap hari dengan PKP 2.0. Jadi, kiralah untung jika subsidi ini dapat menggalakan lebih ramai untuk disaring supaya boleh diasingkan secepat mungkin agar negara dapat memendekkan PKP 2.0 dengan sehari sahaja.
Pusat saringan sementara ini juga dapat diguna untuk rancangan vaksinasi negara pada masa depan manakala pasukan khas saringan boleh bantu kerja vaksinasi.
Cadangan 3: Bekerja dengan pihak hospital swasta untuk menambah pusat kuarantin kes positif Covid sementara dengan mengambil alih hotel yang telah berhenti operasi serta kem Pusat Latihan Khidmat Negara (PLKN) memandangkan kuarantin dan rawatan kendiri di rumah adalah berisiko dan kurang selamat.
Cadangan 4: Kerajaan perlu menyediakan hotline serta menggunakan Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 dibuat masa saya sebagai Perdana Menteri, untuk membolehkan pekerja menyalur maklumat tanpa identiti mereka terbocor jika ada tempat-tempat kerja yang cuba menyorok pekerja yang positif Covid supaya boleh terus beroperasi dan mengelak dari didenda. -Malaysiapost
Artikel berkaitan: https://malaysiapost.com.my/2021/01/29/membazir-buat-pkp-setengah-masak-najib/

