Tidak perlu khuatir dengan kebangkitan Umno, BN – Zahid Hamidi

0
2

Nurul Huda Abhar

PRESIDEN Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengingatkan semua pihak supaya tidak bimbang dengan kebangkitan Umno dan Barisan Nasional (BN) kembali.

“Tidak perlu khuatir dengan kebangkitan sepenuhnya Umno/BN nanti. Tidak perlu takut dengan bayang-bayang sendiri,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Ahmad Zahid berkata, jika ditakdirkan ada sebarang perkara berkaitan perundangan sekalipun, ianya semata-mata berlandaskan keluhuran Perlembagaan.

Malah, beliau menegaskan sesetengah pihak tidak usah resah dengan istilah “What you give you get back”.

“Umno/BN dan ahli-ahlinya sangat profesional, ‘gentleman’. Doa yang baik-baik sahaja,” ujarnya.

Pada masa sama, beliau berkata bahawa Umno tidak mengamalkan politik ‘barbaric’ mahupun berlandaskan politik kebencian dan dendam.

Menurut Ahmad Zahid, parti itu juga tidak akan menganiaya atau menzalimi pihak lawan hanya kerana berbeza fahaman politik hanya kerana mahu kekal berkuasa.

“Umno/BN bersaing dengan ideologi, dengan hujah dan fakta. Dengan perkhidmatan. Demi apa yang terbaik kepada rakyat untuk rakyat,” katanya.

Semalam, beliau secara sarkastik ‘berterima kasih’ kepada kerajaan Perikatan Nasional (PN) kerana memberi peruntukan kepada beberapa Ahli Parlimen Umno termasuk dirinya sebanyak RM100,000 setahun, iaitu peruntukan yang sama diberikan kepada Ahli Parlimen pembangkang di bawah Belanjawan 2021.

Bagaimanapun, beliau berkata Ahli Parlimen lain dalam PN mendapat peruntukan RM3.7 juta seorang. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here