SPM, SVM, STAM dan STPM 2020 patut dibatalkan – Ikatan

0
2

DEWAN Pemuda Ikatan Malaysia (Ikatan) mencadangkan kerajaan membatalkan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Vokasional Malaysia (SVM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) untuk pelajar tahun 2020.

Sebaliknya, Ketua Pemuda Ikatan Shahir Adnan berkata, Kementerian Pendidikan (KPM) boleh menggunakan keputusan peperiksaan percubaan pelajar sebagai penilaian kemasukan ke Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA).

“Ikatan mencadangkan kerajaan dan Menteri Pendidikan untuk mewujudkan kaedah baharu bagi melahirkan pelajar seimbang dari segi intelek dan emosi dengan mengetepikan atau “waive” peperiksaan kebangsaan untuk tahun 2020 dan menggunakan keputusan peperiksaan percubaan sebagai tiket ke menara gading.

“Kita harus bergerak ke hadapan tanpa merisikokan nyawa adik-adik kita ke sekolah semata-mata untuk menjawab peperiksaan SPM, SVM, STAM, dan STPM,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Ini kerana menurut Shahir, calon peperiksaan tahun 2020 memiliki kekurangan masa pembelajaran ekoran sesi persekolahan terpaksa ditangguhkan bagi mengekang wabak pandemik Covid-19.

Malah kata Shahir, sesi pembelajaran juga terpaksa ditunda di beberapa negeri yang dilanda banjir baru-baru ini.

“Disebabkan pandemik Covid-19, dua kali tarikh telah dipinda. Keadaan juga menjadi lebih parah apabila negara kita dilanda musim tengkujuh pada Januari di kawasan pantai timur terutamanya di Pahang, Terengganu dan Kelantan.

“Bayangkan berapa ramai calon SPM tidak dapat hadir ke sekolah sejak hari pertama persekolahan yang bermula pada 20 Januari lalu disebabkan Covid-19 dan banjir,” katanya.

Tambah Shahir lagi, Ikatan turut menyelami rintihan calon pelajar peperiksaan yang kesuntukan masa dan terpaksa melalui proses luar biasa kaedah pembelajaran pada waktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini.

“Bayangkan apabila terdapat lapan hingga berbelas subjek yang perlu dipelajari dalam masa hanya sebulan sebelum peperiksaan.

“Tidak semua berkemampuan untuk mendapatkan tuisyen daripada luar sekolah. Akses kepada internet di luar bandar juga isu kritikal.

“Masih ramai adik-adik kita terpaksa mendaki bukit setiap hari untuk dapatkan capaian internet di pedalaman.

“Keadaan sebegini bakal mewujudkan jurang pendidikan antara adik-adik kita di bandar dan di luar bandar,” katanya.

KPM telah meminda tarikh SPM, SVM dan STAM ke 22 Februari 2021 manakala STPM akan bermula pada 8 Mac 2021.

Seramai 524,718 pelajar yang bakal menduduki peperikasaan kebangsaan ini dan ianya membabitkan 400,445 calon (SPM), 92,964 (STPM), 23,313 (SVM) dan 7,996 (STAM). – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here