YANG di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan ucapan setinggi-tinggi tahniah kepada bekas Ratu Skuasy Negara, Datuk Nicol Ann David yang dinobatkan sebagai pemenang Anugerah Atlet Terunggul Sepanjang Zaman Sukan Dunia, semalam.
Menurut kenyataan di Facebook rasmi Istana Negara, Seri Paduka Baginda menzahirkan rasa sukacita dan bangga di atas kejayaan tersebut yang sekali gus telah mengharumkan nama negara di persada dunia.
“Kejayaan ini membuktikan bahawa Malaysia mampu melahirkan atlet dan individu yang berkualiti, berkaliber dan bertaraf antarabangsa.
“Ianya juga membuktikan bahawa dengan iltizam, semangat perjuangan yang tinggi dan usaha yang bersungguh-sungguh, rakyat Malaysia mampu bersaing dan berjaya di persada antarabangsa.
“Seri Paduka Baginda menyifatkan pencapaian Datuk Nicol Ann David ini sebagai kejayaan yang amat bermakna kepada Malaysia dan juga sebagai suntikan semangat dan kegembiraan kepada seluruh rakyat pada ketika dunia dan negara masih berada dalam keadaan yang perit bergelut memerangi penularan wabak Covid-19,” kata kenyataan itu.
Menurut kenyataan itu, Seri Paduka Baginda turut menzahirkan setinggi ucapan tahniah dan penghargaan kepada ibu bapa Nicol iaitu Desmond David dan Ann Marie David, atas pengorbanan dan kesungguhan mereka dalam mendidiknya sehingga mengungguli arena sukan skuasy dunia.
“Seri Paduka Baginda menzahirkan harapan semoga kejayaan Datuk Nicol Ann David menjadi sumber inspirasi kepada seluruh rakyat Malaysia untuk bekerja keras dan berusaha mencapai kejayaan di dalam bidang masing-masing di dalam negara mahu pun di persada antarabangsa.
“Seri Paduka Baginda juga menzahirkan ucapan selamat maju jaya kepada Datuk Nicol Ann semoga beliau dilimpahi kejayaan cemerlang berterusan,” katanya.
Datuk Nicol David meraih Anugerah Atlet Terunggul Sepanjang Zaman Sukan Dunia selepas mendapat undian sebanyak 318,943.
Pemegang takhta pemain nombor satu dunia selama sembilan tahun itu berjaya mengetepikan James Kehoe iaitu legenda tarik tali Ireland yang mendapat sebanyak 113,120 undian.
Bekas atlet kelahiran Pulau Pinang berusia 37 tahun itu bersaing dalam undian dalam talian dengan 23 calon lain mewakili sukan masing-masing dalam sejarah 40 tahun temasya sukan itu (1981 hingga 2017).
Anugerah itu dianjurkan Persatuan Sukan Dunia Antarabangsa (IWGA) sebagai sambutan ulang tahun ke-40 sukan dunia.
Penganjuran anugerah itu bertujuan memilih atlet terbaik sepanjang zaman yang pernah beraksi dalam mana-mana edisi sukan dunia yang diadakan buat pertama kalinya di Santa Clara, Amerika Syarikat pada 1981. -Malaysiapost
Artikel berkaitan :
https://malaysiapost.com.my/2021/02/02/nicol-david-dinobat-atlet-terunggul-sepanjang-zaman/

