PERMOHONAN pendaftaran Parti Pejuang Tanahair (Pejuang) dan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) ditolak pada 6 Januari lalu berikutan gagal mematuhi peruntukan Seksyen 7(3)(e) Akta 335.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin, berkata menerusi semakan terperinci ke atas dokumentasi permohonan pendaftaran Pejuang dan Muda, Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) mendapati ia tidak teratur selaras dengan peruntukan Jadual 1 Akta Pertubuhan 1966 [Akta 335].
Bagaimanapun katanya, selaras dengan peruntukan Seksyen 18 Akta 335, permohonan rayuan boleh dibuat kepadanya dalam tempoh masa 30 hari daripada tarikh keputusan tersebut.
“Berikutan itu, pada 8 Januari 2021 Jawatankuasa Penaja Parti Pejuang telah mengadakan perbincangan bersama pihak JPPM bagi mendapatkan pandangan dan mengemukakan permohonan rayuan pada hari yang sama.
“Bagaimanapun, sehingga hari ini Jawatankuasa Penaja Parti Muda tidak berjumpa dengan pihak JPPM bagi tujuan konsultansi dan masih belum mengemukakan permohonan rayuan secara rasmi kepada Menteri Dalam
Negeri,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Sehubungan itu, Hamzah berkata, ROS dengan ini menegaskan bahawa sesuatu pertubuhan yang tidak didaftarkan di bawah Seksyen 7 Akta 335 adalah menjadi suatu pertubuhan yang menyalahi undang-undang mengikut Seksyen 41 akta yang sama.
Beliau menjelaskan, matlamat penubuhan ROS adalah untuk memastikan semua pertubuhan yang berdaftar adalah teratur dan tidak bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan bagi memelihara kebajikan, keamanan, keselamatan dan ketenteraman awam.
“Sekiranya ada mana-mana pihak yang menjalankan apa-apa aktiviti pertubuhan maka tindakan pendakwaan boleh dikenakan di bawah akta yang sama,” katanya. -Malaysiapost
Artikel berkaitan:

