Isteri ahli politik didakwa edar, tanam ganja

0
2

WANITA yang juga isteri kepada seorang ahli politik didakwa ke Mahkamah Majistret Ampang, hari ini atas tiga pertuduhan mengedar dan menanam dadah jenis kanabis.

Bagi pertuduhan pertama dan kedua, Lyiana Roslee, 34, didakwa bersama seorang lagi yang masih belum dituduh, mengedar dadah jenis Kanabis anggaran berat 1,580.4 gram (1.58 kilogram) dan mengedar cecair jenis dadah sama berisi padu 7.87 liter di sebuah rumah di Duta Residensi, Ampang pada 7.30 malam, 20 Januari lalu.

Bagi kedua-dua kesalahan itu, suri rumah itu didakwa mengikut Seksyen 39(B)(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 39B(2) akta sama, dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup atau gantung sampai mati dan jika tidak dihukum mati hendaklah disebat tidak kurang 15 sebatan, jika sabit kesalahan.

Mengikut pertuduhan ketiga pula, tertuduh bersama dengan seorang lagi yang masih belum dituduh, didakwa menanam sembilan pokok disyaki pokok kanabis di tempat, tarikh dan masa sama.

Dia dituduh mengikut Seksyen 6B(1)(a) akta sama yang boleh dihukum mengikut Seksyen 6(A)(3) dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan, memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup dan sebatan tidak kurang daripada enam kali, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nor Shazwani Abdullah dihadapan Majistret Farah Nasihah Anua, manakala tertuduh diwakili peguam Muhammad Rafique Rashid Ali dan Nur Mustanir Md Nor.

Bagaimanapun tiada sebarang pengakuan direkodkan daripada Lyiana seperti dilaporkan Bernama hari ini.

Mahkamah menetapkan 16 Februari depan untuk sebutan semula kes dan tertuduh di perintah ditahan di Penjara Kajang.

Malaysiapost sebelum ini melaporkan seorang ahli parti politik ditahan polis selepas dipercayai terbabit kegiatan dadah dalam satu serbuan di Ibu negara pada 20 Januari lalu.

Difahamkan polis turut merampas kira-kira 1.5 kilogram daun kering dipercayai ganja, sembilan pokok ganja dan sejumlah cecair disyaki dadah jenis sama.

Turut ditahan susulan penahanan suspek itu adalah isterinya berusia 34 tahun dan seorang warga asing dipercayai pembantu rumah pasangan terbabit.

Berdasarkan sumber, suspek adalah ahli Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Parti Bumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
-Malaysiapost

Artikel berkaitan:

https://malaysiapost.com.my/2021/01/23/ahli-politik-ditangkap-kes-dadah-bukan-pemimpin-armada/

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here