Tolak kes tertunggak, berapa angka sebenar kes positif Covid-19 tiga hari lalu?

0
2

PEMIMPIN Veteran DAP, Lim Kit Siang mempersoalkan berapa angka sebenar jangkitan dan kematian Covid-19 untuk tiga hari yang lalu tanpa mengira kes tertunggak dalam negara.

Menurut beliau, rakyat Malaysia dikejutkan dengan pendedahan bahawa data peningkatan harian jangkitan dan kematian Covid-19 untuk tiga hari lalu tidak tepat memandangkan maklumat tersebut berserta dengan jumlah kes tunggakan.

“Mengapakah pengumpulan tunggakan kes yang menambahkan jumlah kes harian tidak didedahkan daripada awal lagi?,” soalnya menerusi kenyataan, hari ini.

Semalam, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata kelewatan melaporkan kes ke Pusat Kesiapsiagaan dan Tindakan Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC) adalah punca peningkatan mendadak kes Covid-19 sehingga melebihi 5,000 kes tiga hari hari berturut-turut.

Beliau dilaporkan berkata, peningkatan jumlah jangkitan turut berpunca hasil saringan bersasar di tempat kerja, kontak rapat dan kumpulan berisiko tinggi yang dijalankan di beberapa negeri.

Terdapat juga klinik dan hospital swasta lambat membuat laporan menggunakan Sistem Makmal Kesihatan Awam (Simka).

Sementara itu, menurut Kit Siang, salah satu masalah terbesar kerajaan dalam mengendalikan wabak itu adalah defisit kepercayaan dan keyakinan rakyat kerana pelaksanaan layanan berbeza dalam pelaksanaan prosedur operasi standard (SOP) Covid-19.

Katanya, ia dapat dilihat di mana golongan VIP dan menteri bebas mengingkarinya, selain keputusan kerajaan yang tidak menentu dan sering berubah menunjukkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) masih tidak mempelajari apa-apa daripada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pertama.

Selain itu, katanya, keengganan kerajaan melaksanakan pendekatan dan strategi yang melibatkan “keseluruhan kerajaan” dan “keseluruhan masyarakat” dalam memerangi wabak Covid-19.

Jelas beliau, kenyataan itu termasuk kegagalan PKP 2.0 untuk mengurangkan jumlah kes dalam negara, dan penggantungan sidang Parlimen dan Dewan Undangan Negeri sedangkan wakil-wakil rakyat sepatutnya dilibatkan sebagai penggerak utama dalam pendekatan melawan wabak ini.

“Keyakinan dan kepercayaan rakyat kepada kerajaan dalam menguruskan wabak Covid-19 telah menjunam ke sifar.

“Bolehkah kepercayaan dan keyakinan rakyat terhadap usaha kerajaan dalam mengendalikan wabak ini dikembalikan?,” katanya. – Malaysiapost

Artikel berkaitan:
https://malaysiapost.com.my/2021/01/30/backlog-cases-punca-kes-covid-19-di-selangor-naik-mendadak-mb/

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here