POLIS menemui banyak kesan lebam serta beberapa kecederaan lama dan baru di badan kanak-kanak yang meninggal dunia disyaki didera ibu kandung dan bapa tirinya di Taman Krubong Jaya, Melaka Jumaat lalu.
Malah, ada kesan luka kecil sepanjang tiga sentimeter di belakang kepala yang dipercayai baru berlaku.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Mohd Sukri Kaman berkata pihaknya masih belum dapat mengesahkan punca kematian mangsa sama ada disebabkan didera atau akibat lemas seperti didakwa sebelum ini.
Beliau berkata, laporan bedah siasat ke atas mangsa juga belum dapat memastikan punca kematian kerana terdapat beberapa spesimen yang perlu dihantar ke makmal untuk ujian lanjut.
“Masih terlalu awal untuk mengesahkan punca kematian, cuma kita boleh sahkan memang terdapat kecederaan terutama di kepala dan beberapa anggota badan.
“Kami percaya kecederaan itu akibat dipukul dengan objek tumpul, namun kita masih melakukan siasatan sama ada ia disebabkan mangsa terjatuh atau dipukul oleh mana-mana individu,” katanya di pekarangan Jabatan Perubatan Forensik Hospital Melaka malam tadi, lapor Harian Metro.
Mohd Sukri berkata, beberapa spesimen seperti paru-paru, jantung dan hati sudah dihantar ke makmal untuk ujian, tetapi tidak dapat dipastikan bila keputusan mengenainya akan diperoleh.
Katanya, ketika polis tiba di rumah mangsa Jumaat lalu, mayat sudah dikeluarkan daripada tong berisi air di dalam bilik air di tingkat bawah kediaman berkenaan.
“Ketika polis tiba, mangsa baru sahaja meninggal dunia kira-kira tiga jam sekali gus menepis dakwaan mangsa sudah meninggal dunia tiga hari,” katanya.
Beliau juga yakin jenazah mangsa akan diserahkan kepada waris yang sah selewat-lewatnya pagi ini untuk urusan pengebumian.
“Tiga adik-beradik mangsa juga akan dipanggil untuk dirakam percakapan bagi membantu siasatan,” katanya. – Malaysiapost
Artikel berkaitan:
https://malaysiapost.com.my/2021/01/31/kerajaan-tak-kompromi-kesalahan-hak-kebajikan-kanak-kanak-rina-harun/

