PKPD Penjara Simpang Renggam dan Kuarters Kakitangan, Kluang

0
2

KERAJAAN mengumumkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Penjara Simpang Renggam dan Kuarters Kakitangan, Kluang bermula esok hingga 14 Februari ini.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ia susulan peningkatan kes positif Covid-19 secara mendadak di lokaliti itu.

Setakat ini, katanya sebanyak 108 kes telah direkodkan melibatkan 100 tahanan, enam kakitangan dan dua kontak rapat.

“Pelaksanaan PKPD ini untuk memudahkan Kementerian Kesihatan (KKM) melaksanakan saringan secara bersasar ke atas semua tahanan, kakitangan dan kontak rapat untuk memastikan tiada penularan jangkitan dalam komuniti,” katanya dalam kenyataan media harian perkembangan Covid-19, hari ini.

Sementara itu, Ismail Sabri turut mengumumkan PKPD di daerah Song dan Kapit di Bahagian Kapit, Sarawak selama 14 hari bermula 2 sehingga 15 Februari ini.

“KKM mengesahkan terdapat peningkatan kes positif Covid-19 di daerah Song yang sebelumnya Zon Hijau dengan 93 kes telah direkodkan.

“Di Kapit, kes telah meningkat dari tiada kes kepada 31 kes positif. Kedua-dua daerah ini menunjukkan peningkatan kes mendadak dalam tempoh 14 hari dengan kadar keberjangkitan yang tinggi,” katanya. – Malaysiapost

Artikel berkaitan:

https://malaysiapost.com.my/2021/01/29/malaysia-tak-akan-laksana-sekatan-pergerakan-sepenuhnya-walau-senario-terburuk-tengku-zafrul/

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here