BUNYI seakan letupan dan gegaran selama beberapa saat pagi tadi
PENDUDUK beberapa daerah di Sabah gempar susulan bunyi kuat seakan letupan disusuli gegaran pagi tadi.
Kejadian selama beberapa saat itu dilaporkan dirasai di sekitar Beaufort, Sipitang, Kuala Penyu dan Labuan.
Susulan itu, heboh di media sosial apabila netizen tertanya-tanya apa sebenarnya yang berlaku serta apa puncanya.
Ketua Polis Daerah Beaufort, Deputi Superintendan Azmir Abd Razak berkata pihaknya masih menyiasat dari mana datangnya letupan tersebut.
“Saya sudah berhubung dengan Ketua Polis Daerah Sipitang dan beliau mendakwa terdengar bunyi letupan kuat dari arah Lawas, Sarawak.
“Saya juga berhubung dengan polis Labuan tetapi bom lama yang ditemukan sebelum ini juga sudah dimusnahkan,” katanya seperti dilaporkan Sinar Harian.
Katanya lagi, setakat ini pihaknya belum menerima laporan atau aduan daripada mana-mana pihak menyatakan lokasi letupan terbabit.
Ketua Polis Daerah Sipitang, Deputi Superintendan Champin Piuh pula berkata pihaknya sedang giat mencari punca bunyi letupan tersebut.
“Saya juga dengar bunyi seperti guruh dari arah Labuan. Kita sedang mencari kemungkinan berpunca dari ‘pipe line’ gas ke Miri tetapi perkara ini belum disahkan,” katanya.
Ketua Zon Bomba Beaufort, Anddre Andrew berkata Balai Bomba dan Penyelamat di bawah zon Beaufort tidak menerima sebarang panggilan operasi.
“Setakat ini tidak pasti punca daripada apa. Bomba pun tidak menerima panggilan kecemasan berkaitan bunyi itu namun hanya panggilan daripada orang ramai yang bertanya punca bunyi itu,” katanya. – Malaysiapost

