TEMCO di Tawar diketahui Ahad ini

0
2

Kerajaan Kedah setakat ini belum melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan Secara Pentadbiran (TEMCO) di kawasan Tawar, Baling yang dilanda penularan Covid-19.

Menerusi kenyataan Pejabat Menteri Besar Kedah, sebarang keputusan mengenai perkara itu hanya akan dibuat menerusi mesyuarat Jawatan kuasa Keselamatan Negeri (JKKN), 16 Ogos ini.

“Bagaimanapun Jawatan kuasa Keselamatan Daerah (JKKD) Baling telah diarah mengadakan mesyuarat peringkat daerah dan segera mengaktifkan Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) Daerah,” kata kenyataan itu.

Setakat jam 12 tengah hari tadi, 11 kes baru membabitkan Kluster Tawar direkodkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Kluster yang dikesan di mukim Tawar, Kedah berpunca daripada lelaki menghadiri upacara keagamaan memperingati kematian ahli keluarga yang berlangsung dari 31 Julai hingga 1 Ogos lalu.