Masukkan doa khusus tangani Covid-19 lepas solat fardu

0
2

Nurul Huda Abhar

PEMUDA Umno Kelantan memohon agar solat di masjid dan surau memasukkan doa khusus untuk menangani Covid-19 selepas setiap solat lima waktu, yang tentunya akan mendoakan kesejahteraan negara.

Menurutnya dalam satu kenyataan, kerajaan juga boleh menggunakan kuasa mutlak yang ada dalam tempoh darurat untuk arahkan bank dan institusi kewangan mewajibkan lanjutan moratorium pinjaman, serta tidak mengenakan kenaikan faedah terhadap lanjutan itu sehingga Ogos 2021.

“Tentunya wang penangguhan pembayaran tersebut akan digunakan oleh golongan peminjam B40 dan M40 untuk fokus kepada perkara yang mendesak seperti bahan makanan isi rumah dan kelengkapan belajar anak-anak yang memerlukan komputer, tab atau telefon pintar.

“Daripada pihak bank sendiri, inisiatif berkebajikan ini tentunya akan memberi reputasi baik kepada pelanggan yang akan membina kesetiaan jenama ataupun ‘Brand Loyalty’,” katanya hari ini.

Pemuda Umno Kelantan turut meminta agar kedai gunting rambut dibenar beroperasi kembali dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi menjana ekonomi mereka yang rata-rata pemiliknya adalah golongan B40 di mana mereka masih membayar sewa bulanan kedai.

Selain itu, katanya, pekerja-pekerja pula majoriti terdiri daripada golongan anak muda yang baru belajar memulakan kehidupan yang tentunya tidak boleh dimatikan semangat mereka untuk berdikari.

Katanya lagi, pihaknya berharap kerajaan membenarkan operasi perniagaan mencuci kereta kerana ia tidak melibatkan sentuhan secara dekat dengan pelanggan agar dapat melengkapkan pusingan ekonomi dalam kalangan pemain industri automotif itu.

“Apabila selesai pelanggan membaiki kereta, terus boleh dibuat perkhidmatan cucian ini bagi memberi ‘added value’ kepada pelanggan.

“Pemuda Umno Kelantan berharap agar kerajaan dapat mempertimbang permintaan ini mengikut kesesuaian dan keadaan yang telah ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN). – Malaysiapost

Artikel berkaitan:
https://malaysiapost.com.my/2021/01/26/suami-isteri-jarak-jauh-dibenar-rentas-negeri-bermula-esok/

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here