BEKAS Timbalan Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mendakwa keputusannya meninggalkan parti itu dan menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) disebabkan ‘amalan seksual yang tidak bermoral’ yang dilakukan Presidennya, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Ahli Parlimen Gombak berkata demikian dalam pernyataan pembelaannya berhubung saman yang difailkan 10 pengundi Gombak terhadapnya.
Azmin berkata, amalan berkenaan dilakukan Anwar menjadi punca beliau hilang kepercayaan terhadap Presiden PKR itu.
Dalam pernyataan pembelaan yang difailkan melalui firma guamannya, Tetuan Zharid Nizamuddin, Azmin berkata, Anwar langsung tidak berkelayakan dan bukan seorang yang sesuai untuk memimpin PKR serta menjadi Perdana Menteri Malaysia.
“Dakwaan ini disokong oleh beberapa dakwaan kukuh berhubung perlakuan dan amalan seksual Datuk Seri Anwar Ibrahim (DSAI) yang tidak bermoral sebagai seorang beragama Islam, khususnya semenjak DSAI kembali menjadi Presiden PKR dan telah bebas untuk bergerak,” katanya seperti dilapor MalaysiaKini.
Azmin merujuk dua kes membabitkan tuduhan dibuat oleh Mohammed Yusoff Rawther mengenai serangan seksual dilakukan Anwar dan tuduhan yang sama dibuat oleh individu bernama Aidil Azim Abu Adam.
Anwar bagaimanapun menafikan melakukan sebarang salah laku seksual.
Untuk rekod, Azmin pada 2019 juga terpalit dengan skandal seks luar tabii apabila video yang memaparkan individu mirip wajahnya tersebar.
Namun dia menafikan tuduhan berkenaan dan menganggapnya sebagai usaha menjatuhkan karier politiknya dalam PKR.
Azmin dalam pernyataan pembelaan itu juga berkata, beliau meragui status pengampunan penuh yang diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong terhadap Anwar.
Anwar dipenjarakan pada 2015 atas dakwaan meliwat bekas pembantunya tetapi diberi pengampunan selepas Pakatan Harapan (PH) memenangi Pilihan Raya Umum (PRU) pada 2018.
Azmin yang juga Menteri Perdagangan, Antarabangsa dan Industri juga menafikan dakwaan bahawa beliau gagal menunaikan janji pilihan raya terhadap pengundi di kawasan Gombak.
Katanya, manifesto pilihan raya tersebut merupakan satu deklarasi niat dan polisi yang ingin dilaksanakan oleh PH secara kolektif dan bukan individu.
Bagaimanapun, Azmin berkata, beliau masih komited untuk memerangi dan menghapuskan rasuah meskipun tidak bersama PKR dan telah menyertai Bersatu.
“Memandangkan ‘undi adalah rahsia’, bagaimana boleh plaintif-plaintif membuktikan dengan kukuh bahawa mereka dengan benar dan jujur telah memilih defendan semasa PRU-14 dan kertas undi masing-masing tidak rosak bagi tujuan pengiraan undi?,” soalnya.
Azmin berkata, beliau merupakan Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) yang bertanggungjawab terhadap seluruh warganegara Malaysia yang bermastautin di kawasan Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) serta bukan hanya terhad kepada mana-mana pemilih.
Katanya, Perkara 10 Fasal (1) (c) Perlembagaan Persekutuan juga menjamin hak mana-mana warganegara Malaysia untuk membentuk persatuan.
Azmin juga menafikan bahawa bertanggungjawab atas kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan (PH) pada Februari tahun lalu.
Sebaliknya, katanya, PH tumbang disebabkan peletakan jawatan Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr Mahathir Mohamad.
Pada Februari tahun lalu, Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin membuat keputusan untuk mengeluarkan Bersatu daripada PH.
Azmin disertai oleh sekumpulan pemimpin PKR, yang pada masa itu beliau merupakan Timbalan Presiden PKR.
Bersama pembangkang mereka membentuk kerajaan Perikatan Nasional PN. – Malaysiapost

