
Nilam Oshman
SERAMAI 426 individu ditahan atas kesalahan ingkar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) semalam.
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata daripada jumlah itu seramai 404 individu dikompaun manakala 21 direman serta seorang dijamin.
“Antara kesalahan ialah gagal menyediakan peralatan merekod butiran pelanggan (93), tidak memakai pelitup muka (88) dan gagal mematuhi arahan penjarakan fizikal (81).
“Manakala rentas negeri/daerah tanpa kebenaran (40), premis beroperasi lebih masa/tanpa kebenaran (24), makan dan minum di premis tanpa kebenaran (20), mengadakan majlis tanpa kebenaran (6) dan lain-lain (74),” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sementara itu, beliau berkata, Ops Benteng semalam menahan 23 pendatang asing tanpa izin (PATI), merampas lima kenderaan darat dan dua kapal/bot.
Dalam operasi itu, katanya pihak berkuasa turut mengesan 164 bot/kapal di perairan negara melalui lima aktiviti penglihatan. – Malaysiapost
