MUDA mahu Adham letak jawatan, serah tugas pada penjawat awam

0
2

PARTI Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) mendesak barisan Kabinet kerajaan Perikatan Nasional (PN) dikecilkan dengan memecat menteri-menteri yang tidak berfungsi.

Seterusnya tugas itu diserahkan kepada penjawat awam untuk operasi pengurusan harian sepanjang tempoh darurat ini bagi mengekang penularan Covid-19.

Menerusi kenyataan hari ini, MUDA berkata pemecatan itu harus bermula dengan Datuk Seri Dr Adham Baba selaku Menteri Kesihatan serta dua timbalannya.

Ini katanya, dapat menjimatkan kos gaji menteri serta timbalannya dan semua pegawai-pegawai lantikan politik, dan menyerahkan bidang kuasa tugas kepada Ketua Pengarah Kesihatan.

Ini kerana menurut MUDA, kerajaan PN pimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak menonjolkan sebarang perancangan rapi bagi menghadapi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang diumumkan bermula 13 Januari 2021.

“Lebih tidak masuk akal ialah deklarasi darurat yang mengantung semua institusi demokratik negara, namun tiada seorang anggota Kabinet pun melepaskan jawatan untuk diserah bidang tugas kepada penjawat awam.

“Dalam darurat ini rakyat masih perlu membayar hutang bank, melunaskan semua tanggungjawab kewangan dan menanggung kehilangan sumber rezeki. Pada masa sama bagi menteri dan timbalan semua jawatan dan keistimewaan dikekalkan.

“Daripada asyik meminta untuk rakyat berubah menyesuaikan diri dengan norma baharu, tiba masanya untuk barisan kepimpinan Kabinet pula berubah dan menyesuaikan diri dengan norma baharu melalui kepimpinan melalui tauladan,” kata kenyataan itu.

Semalam kes Covid-19 mencapai angka 5,725, jumlah tertinggi sejak pandemik melanda Malaysia setelah lebih setahun. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here